
URUS PERFORMANTE NAIKKAN LAGI DARJAT SUPER SUV LAMBORGHINI – TAMBAH RALLY MODE PULAK DAH
Sama seperti Lamborghini lain, ada sahaja model naik taraf yang akan dilancarkan mereka. Kali ini giliran super SUV mereka pula, Urus yang menjelma sebagai Lamborghini Urus Performante. Bukan seperti model-model marhain yang menaiktaraf elemen kosmetik luaran seperti bumper dan pelekat badan, Urus turut diberi peningkatan dari segi kuasa dan masa yang sama mengalami penurunan berat badan. Tak cukup lagi ia kini dilengkapi dengan mod rali untuk beraksi di kawasan berpasir. Fuh, hebat boh.

Menurut pengerusi dan CEO Lamborghini, Stephen Winkelman, Urus telah menetapkan standard yang tinggi sebaik sahaja ia diperkenalkan lengkap dengan DNA Lamborghini dan teknologi yang melayakkannya menjadi sebuah super SUV era baharu. Ini memang tidak dinafikan lagi sesuai dengan harganya yang mampu tengok dengan mulut ternganga. Urus Performante pula menaikkan lagi bar pengukur ke tahap yang lebih tinggi.
Memang kami sendiri pun akui, susah untuk pengeluar lain untuk mengeluarkan SUV yang setanding dengan Urus ni, hensemnya tidak kalah walaupun kepada saudara terdekatnya Huracan dan Aventador. Lawannya cuma satu je, Alza vtectec AJ tapi itu semua orang dah tau.

Mengikut fakta nombor, Urus Performante ini adalah lebih rendah dan lebih lebar berbanding Urus standard (bunyi macam murah je panggil Urus standard, padahal jual buah pinggang pun tak cukup nak bayar). Treknya dilebarkan sebanyak 16mm manakala rendahnya diturunkan sebanyak 20mm.
Rim standard Urus Performante ini bersaiz 22 inci dan pemilik mempunyai pilihan untuk menggunakan rim 23 inci. Janji ada duit bang. Beli Urus takkan la berkira nak tambah seinci lagi saiz rim.
Ciri aerodinamik juga dinaik taraf dengan pelbagai elemen daripada gentian karbon. Downforce berjaya dinaikkan kepada 38 peratus menggunakan spoiler belakang yang diinspirasikan daripada Aventador SVJ. Pergh, boleh taruk dekat Alza spoiler ni.

Bukan sekadar kosmetik, kuasa Urus Performante turut dinaikkan kepada 657 hp dengan tork maksima 850 Nm. 850 Nm tuan-tuan. Nak sama dengan tork maksima lapan biji Alza.
Lamborghini sudah membuktikan kehebatan Urus Performante ini di pelumbaan Pikes Peak Hill Climb dan rekod yang diciptanya juga adalah hasil bantuan fungsi Rally Mode yang baharu sahaja diperkenalkan untuk model ini. Ini bukan mod besher-besher okey sebab ia juga mempunyai tetapan torque vectoring.
Apa benda pulak torque vectoring ni weh? Dalam bahasa mudah ia bermaksud sistem kawalan komputer yang mengawal kuasa yang dihasilkan oleh enjin atau motor elektrik sebelum dihantar ke setiap unit tayar berdasarkan keperluan. Dengan mengawal kuasa setiap tayar secara efisien, kereta dengan fungsi torque vectoring akan mempunyai lebih cengkaman di atas permukaan licin sekaligus memberikan pecutan yang lebih baik. Ada faham?








