Buletin

15,000 PESERTA MERIAHKAN MALAYSIA SARONG MUSIC RUN 2025

Sekitar Menara Berkembar PETRONAS bertukar menjadi lautan warna-warni apabila 15,000 peserta menyertai Malaysia Sarong Music Run (MSMR) edisi ketiga yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Malaysia.

Acara yang menghimpunkan penyertaan daripada lebih 26 negara itu bukan sekadar larian, malah sebuah pesta kebudayaan dan gaya hidup yang menyatukan muzik, makanan tempatan serta tradisi pemakaian sarung sebagai simbol identiti masyarakat Malaysia.

Untuk rekod, lebih 30,000 pengunjung telah memeriahkan pelbagai aktiviti sepanjang hari.

MSMR 2025 dianjurkan oleh Malaysia Marathon Official Sdn. Bhd. dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), manakala JETOUR Malaysia tampil sebagai penaja utama dan rakan rasmi automotif.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Siong bersama Datuk Seri TPr. (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Presiden Malaysia Marathon merangkap pengasas MSMR, Eddy Casmady, berkata penganjuran itu kini berkembang lebih besar daripada sekadar acara larian.

“MSMR kini menjadi festival komuniti bertaraf antarabangsa yang menonjolkan warisan dan budaya Malaysia. Tahun ini kami memperkenalkan tiga acara utama bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Tiga acara tersebut ialah EKI JETOUR X BSC Relay Run yang berlangsung pada 9 September lalu, 5KM Speed Run khas untuk warganegara Malaysia, serta 5KM Fun Run yang terbuka kepada semua termasuk pelancong luar negara.

Tambah Eddy, pemakaian sarung sebagai tema utama telah menjadikan MSMR sebuah simbol penyatuan rakyat.

“Melihat ribuan peserta dan keluarga tampil berlari dengan sarung penuh bangga sempena Hari Malaysia benar-benar mengharukan. Sarung bukan sekadar pakaian tradisional, tetapi cerminan identiti bersama,” ujarnya.

MSMR pertama kali dianjurkan pada Februari lalu di Kuala Lumpur dengan penyertaan 11,000 peserta, sebelum diteruskan di Matang, Kuching untuk edisi Sarawak yang menarik lebih 5,500 pelari dan 20,000 pengunjung.

Dengan sambutan yang semakin hangat, MSMR kini muncul sebagai salah satu acara penting dalam kalendar pelancongan dan gaya hidup negara, selain menyokong persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Google ads
Back to top button