
NISSAN SENTRA 2026 DIPERKENALKAN – ANGGARAN HARGA RM94K
Bagi Nissan, Sentra ialah model penting yang bakal menjadi pilihan paling mampu milik dalam barisan produknya selepas Versa dijangka ditamatkan selepas tahun 2025.
Justeru, untuk tahun 2026, sedan kompak ini diberi nafas baharu dengan reka bentuk lebih segar serta teknologi moden bagi terus kekal relevan di pasaran.
Walaupun tampil dengan rupa serba baharu, bahagian mekanikalnya masih mengekalkan enjin 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 149hp dan 146 lb-ft tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi CVT Xtronic, satu-satunya pilihan kotak gear yang ditawarkan.

Dari segi dimensi, Sentra generasi terbaru ini sedikit lebih panjang berbanding sebelumnya iaitu 183.3-inci, namun jarak roda lebih pendek sedikit pada 106.5-inci. Lebarnya kekal 71.5-inci, manakala ketinggian meningkat 0.2-inci dengan jarak ke tanah lebih rendah sebanyak 0.10-inci.
Rekaan luaran menampilkan evolusi gril V-Motion ikonik Nissan, dipadankan dengan lampu utama lebih nipis dan kemasan aerodinamik yang dipertingkat.
Antaranya ialah reka bentuk cermin sisi baharu, lubang roda lebih kecil, pelapik bawah rata serta deflektor tayar. Anggaran kadar penggunaan bahan api berada pada 29 mpg untuk pemanduan bandar, 38 mpg di lebuh raya dan 33 mpg secara gabungan, sedikit menurun berbanding model 2025.

Empat varian ditawarkan iaitu S, SV, SL dan SR, dengan pilihan rim bersaiz 16, 17 atau 18-inci.
Bahagian dalaman menerima kemas kini ketara dengan skrin sentuh infotainmen 12.3-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay berwayar sebagai standard.
Panel maklumat pemandu 7.0-inci juga hadir, tetapi untuk paparan 12.3-inci penuh serta sambungan tanpa wayar, pembeli perlu memilih varian SV, SR atau SL.

Bagi mereka yang mahukan lebih kemewahan, varian SL kembali semula dengan ciri seperti roda stereng dipanaskan, pencahayaan ambien, cermin pandang belakang auto, bumbung suria berkuasa, rim 17-inci serta tempat duduk kulit sintetik berjahit corak.
Sementara itu, SR tampil dengan wajah lebih sporty termasuk kemasan gril krom gelap, bampar unik, skirt sisi hitam, spoiler belakang, bumbung dua tona dan rim 18-inci.
Varian SV, SR dan SL turut dilengkapi pemilih mod pemanduan dengan tetapan Sport yang mengubah tindak balas stereng, enjin serta talaan CVT untuk pengalaman lebih agresif.

Nissan menjangkakan Sentra baharu ini mula menghuni bilik pameran menjelang hujung tahun. Harga rasmi masih belum diumumkan, namun dijangka bermula sekitar awal USD20,000 (lebih kurang RM94,000) berdasarkan tanda harga model 2025.



