Artikel PilihanBuletin

ADAKAH MINYAK PELINCIR 0W-20 TIDAK SELAMAT UNTUK ENJIN?

Penulis baru terbaca satu komen di Facebook apabila seorang pengguna bertanyakan kelikatan minyak enjin yang sepatutnya digunakan oleh kenderaan mereka. Apabila salah seorang pembaca menjawab 0W-20, terdapat satu komen yang sangat power menjawab “habis jahanamlah enjin”

Penulis tidak mahu membuang masa dengan debat yang tidak berfaedah, bukan dapat hadiah pun. Melainkan dia seorang jurutera teknikal yang terlibat dalam menghasilkan enjin tersebut dan tahu selok belok berkenaan enjin dan jenis pelinciran, adalah lebih mudah menganggap komen sebegini ibarat tin kosong

Makin kosong, makin kuat berbunyi. Tapi isu berkenaan minyak enjin kelikatan rendah ini sudah lama berlegar dari zaman sebelum internet wujud, zaman forum sehinggalah kepada zaman media sosial. Minyak enjin kelikatan rendah dianggap sebagai minyak tidak tahan lasak, satu andaian yang dibuat tanpa data dan bukti

Malah isu ini turut diutarakan oleh Jason Fenske dari saluran Youtube Engineering Explain. Dalam video ini, Jason menerangkan berkenaan salah faham tentang: 1.) konsep kelikatan, 2.) benarkah minyak enjin kelikatan rendah dapat menjimatkan bahan api dan 3.) bolehkan minyak enjin kelikatan rendah melindungi enjin?

Seperti biasa, anda boleh menonton video ini secara penuh selama 12 minit memandangkan anda banyak masa ketika PKP ini. Tapi jika anda malas menonton, berikut ialah ringkasan video tersebut:

1. Minyak pelincir akan datang dengan 2 jenis kelikatan, satu kelikatan untuk suhu sejuk dan satu lagi kelikatan untuk suhu tinggi. Huruf W adalah merujuk kepada Winter, bukan Weight seperti dinyatakan dalam filem Fast& Furious

2. Minyak pelincir akan menjadi likat pada suhu rendah, dan menjadi cair pada suhu tinggi. Jika minyak menunjukkan 5W-30, kelikatakan minyak pelincir pada suhu tinggi adalah sama seperti minyka pelincir SAE 30 pada suhu tinggi

3. Bagi mengklasifikasikan kelikatan minyak pelincir, ia akan diuji dengan prosedur ASTM D5293 (proses menghidupkan enjin suhu sejuk), ASTM 4684 (Mini rotary viscometer), ASTM D445 (kinematic viscousity) dan ASTM 4683 (high tempreature viscousity)

4. Pada suhu sejuk, minyak pelincir akan diuji antara suhu -10 sehingga -40 darjah Celcius. Pada suhu tinggi ia akan diuji antara suhu 100-150 darjah Celcius.

5. Klasifikasi minyak enjin pada suhu sejuk bergantung kepada base oil stock yang digunakan manakala klasifikasi pada suhu tinggi pula akan bergantung pada bahan aditif yang digunakan seperti viscousity modifier.

6. Pengeluar kenderaan akan bekerjasama dengan pengeluar minyak pelincir bagi mencapai kecekapan enjin yang lebih baik. Salah satu cara yang dibuat ialah dengan merendahkan kelikatan minyak pelincir, yang boleh menyumbangkan kepada pengurangan geseran antara komponen enjin.

Menggunakan minyak dengan kelikatan rendah mengurangkan penggunaan bahan api antara 0.2%-0.7%, nampak sedikit namun angka ini besar bagi enjin pembakaran dalam. Ini kerana kebanyakan enjin sekarang memiliki kecekapan therma sekitar 40%. Naik 1% pun kira syukur sangat.

7. Bagi soalan ke 3, Jason bertanyakan isu tersebut kepada beberap jurutera power transmission dan jurutera daripada Mobil. Jawapan yang diterima ialah pengeluar enjin dan minyak pelincir telah berupaya menghasilkan enjin moden yang tahan sangat lama

Apa yang lebih memeningkan kepala mereka ialah bagaimana untuk meningkatkan kecekapan bahan api daripada enjin moden sekarang. Enjin moden memang direka semenjak dari awal untuk menggunakan minyak enjin kelikatan rendah bagi menjimatkan bahan api dan meningkatkan kecekapan therma

8. Selagi pengguna memilih untuk menggunakan minyak enjin dengan kelikatan yang dicadangkan oleh pengeluar dan dinyatakan dalam buku manual, maka minyak enjin kelikatan rendah boleh digunakan. Jika buku manual mengatakan minyak 0W-20 mesti digunakan, maka ikutlah apa yang dicadangkan oleh pengeluar.

9. Sekiranya anda membuat pandai dengan menukar kelikatan minyak pelincir, samaada dengan merendahkan nombor di depan. Menggunakan minyak kelikatan rendah pada enjin prestasi tinggi akan menyebabkan ia tidak dapat melindungi enjin pada halaju tinggi

Tapi jika anda menggunakan minyak kelikatan tinggi contohnya 10W-30 pada enjin yang memerlukan minyak 5W-30, kemungkinan besar anda akan menghadapi masalah untuk menghidupkan enjin

10. Apa yang paling penting ialah sentiasa menggunakan minyak pelincir mengikut saranan pengeluar kenderaan, menukar minyak enjin mengikut sela masa yang ditetapkan atau lebih awal sekiranya anda memandu dalam keadaan lasak

Sentiasa gunakan minyak yang tulen, bukan ibu minyak, bapak minyak, dato minyak, nenek minyak mahupun orang minyak. Berbalik pada soalan di atas, adakah bahaya jika menggunakan minyak enjin kelikatan rendah? Tidak jika pengeluar yang mencadangkan minyak berkenaan.

Google ads
Back to top button