Buletin

KHABAR BERITA GEMBIRA BUAT OLIVER SOLBERG

Jikalau pembaca perasan, BK agak kerap juga memuatkan berita tentang anak kepada lagenda rali, Oliver Solberg dalam perkhabaran di Mekanika ini. Bukannya apa, pada pendapat peribadi BK, beliau ini merupakan antara bintang rali dalam pembikinan. Iyalah, darah rali sememangnya dah mengalir sejak azali lagi kan.

Sebelum ini ada perkhabaran tentang Oliver Solberg yang terpaksa menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Portugal dan terlepas peluang untuk memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC di Sardegna. Tapi minggu lepas sebenarnya telah pun berlangsung perlumbaan rali tempatan di Itali, Rally di Alba yang mana duo Hyundai, Ott Tanak dan juga Oliver Solberg turut menyertai perlumbaan tersebut.

Menariknya, Oliver Solberg berjaya memenangi perlumbaan Rally di Alba dengan memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC buat kali kedua sementelah berjaya melakukannya di Finland awal tahun yang lalu pada permukaan bersalji. Menariknya juga, ini merupakan kali pertama buat Oliver Solberg memandu jentera WRC pada permukaan aspal.

Cumanya kemenangan perlumbaan bukan kejuaraan rali ini sepatutnya menjadi milik Ott Tanak yang sememangnya mendahului sepanjang saingan. Ott Tanak dikenakan penalti 2 minit 30 saat kerana pasukannya lewat menyediakan jentera dari masa yang sepatutnya.

Dan Oliver Solberg turut merakamkan penghargaan terhadap rakan sepasukannya, Ott Tanak yang kelihatan begitu pantas sepanjang 9 peringkat perlumbaan itu dan berjaya meninggalkan Oliver Solberg 90 saat di belakang. Tapi yang penting bagi Oliver Solberg misi untuk menguji jentera WRC pada permukaan aspal telah pun berjaya. Menang pula tu. Kira bonuslah kiranya.

Dan kini ada satu lagi perkhabaran gembira buat Oliver Solberg. Beliau bakal beraksi dalam pusingan WRC di Safari Rally Kenya pada hujung minggu ini sekali gus beraksi bersama jentera Hyundai i20 Coupe WRC di permukaan batu kelikir buat kali pertama.

Sudah tentu ini merupakan khabar berita gembira yang sangat dinantikan oleh Oliver Solberg setelah tidak dapat melakukannya di pusingan WRC sebelum ini. Perlumbaan Safari Rally Kenya ini dilihat agak istimewa juga setelah kali terakhir perlumbaan rali WRC beraksi di Safari kira – kira 19 tahun yang lalu. Dan kini perlumbaan rali WRC kembali beraksi di bumi Afrika.

BACA : OLIVER SOLBERG DILARANG SERTAI RALLY ITALIA SARDEGNA GARA-GARA BAPANYA DIJANGKITI COVID-19

BACA : OLIVER SOLBERG BAKAL MEMANDU JENTERA HYUNDAI i20 COUPE WRC

Google ads

B K

Back to top button