Buletin

ANAK LENGKAP 2 DOS VAKSIN TIDAK DIBENAR RENTAS NEGERI JUMPA IBU BAPA

Golongan berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksinasi lengkap, tidak diberi kelonggaran untuk merentas negeri berjumpa ibu bapa buat masa sekarang.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana ia membabitkan jumlah ramai yang dikhuatiri boleh menyumbang peningkatan kes COVID-19. Perkara itu diputuskan selepas penilaian risiko jangkitan semasa pada peringkat awal pemberian kemudahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Setakat ini, hanya ibu bapa yang lengkap divaksinasi dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak berusia 18 tahun ke bawah berkuat kuasa hari ini.

“Kita temukan dulu ibu bapa dengan anak. Keputusan itu bukan bersandarkan ekonomi dan kesihatan, sebaliknya pada aspek mental dan kesejahteraan individu.

“Ia juga membabitkan pertimbangan isu kekeluargaan selepas berdepan sekatan pergerakan begitu lama. Sabar dahulu yang bujang (belum dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa ibu bapa),” katanya dalam satu sidang media secara maya.

Mengenai ketiadaan kemudahan sektor sosial diberi kepada negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula, Hishammuddin berkata, situasi COVID-19 di kawasan terbabit masih pada tahap membimbangkan, termasuk keadaan hospital yang sesak dengan pesakit.

“Saya bimbang sekiranya diberikan kelonggaran kepada negeri dalam Fasa 1, ia akan membebankan petugas barisan hadapan untuk merawat pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan menubuhkan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk memfokus isu COVID-19 di Lembah Klang.

“Tiada apa yang Perdana Menteri tidak sanggup lakukan untuk penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor. 

“Nak katil, cari katil. Nak vaksin, cari vaksin, terutama untuk warga Lembah Klang. Jika perlu menambah petugas barisan hadapan, ubat dan tangki oksigen, kita cari.

“Kita berharap pasukan itu dapat membantu menurunkan jangkitan COVID-19, supaya Lembah Klang dapat beralih ke Fasa 2,” katanya. – Berita Harian 

Google ads
Back to top button