
ARC HELMET PERKENAL KOLEKSI XRS EDISI KHAS STAR WARS DI MALAYSIA BIKE SHOW 2026
Jenama topi keledar tempatan, ARC Helmet, memperkenalkan rangkaian terbaharunya iaitu ARC XRS Star Wars Special Edition sempena Malaysia Bike Show 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Koleksi baharu itu menampilkan gabungan elemen keselamatan, keselesaan dan gaya moden, selain mengetengahkan rekaan bertemakan francais filem terkenal Star Wars bagi memenuhi citarasa penunggang yang mahukan identiti lebih unik ketika menunggang.
Antara karakter ikonik yang menjadi inspirasi kepada rekaan topi keledar tersebut ialah Darth Vader, Stormtrooper, BB-8 dan The Mandalorian.
Turut diperkenalkan ialah siri khas untuk kanak-kanak yang menampilkan watak seperti Grogu, BB-8 serta beberapa karakter popular lain daripada dunia Star Wars.

Menurut ARC Helmet, model XRS merupakan produk pertama syarikat itu yang dibangunkan mengikut piawaian keselamatan ECE 22.06 dari Eropah, sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan jenama berkenaan di pasaran antarabangsa.
Direka khusus untuk kegunaan penunggang di Malaysia, XRS hadir dengan saiz cengkerang lebih besar serta pelbagai ciri praktikal seperti visor gelap terbina dalam, sistem pelepasan visor pantas, sokongan pinlock, lapisan dalaman yang boleh ditanggalkan dan dicuci serta reka bentuk mesra pengguna cermin mata.
ARC Helmet turut memberi perhatian terhadap aspek pengudaraan dan aerodinamik berdasarkan maklum balas pengguna bagi memastikan keselesaan yang lebih baik ketika menunggang dalam pelbagai keadaan cuaca.
Wakil ARC Helmet, Lee Pei Wen berkata, pembangunan siri XRS mencerminkan usaha syarikat untuk terus relevan dengan generasi penunggang baharu tanpa mengabaikan nilai utama yang menjadi asas jenama itu sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan bahawa penunggang masa kini bukan sahaja mementingkan aspek keselamatan dan keselesaan, malah semakin cenderung memilih produk yang mampu menggambarkan personaliti serta gaya hidup mereka.
Selain koleksi Star Wars, ARC Helmet turut mempamerkan rangkaian topi keledar kanak-kanak yang menampilkan watak popular Disney seperti Toy Story, Zootopia serta Mickey and Friends.
Ditubuhkan di Butterworth, Pulau Pinang pada tahun 1973, ARC Helmet mempunyai pengalaman lebih lima dekad dalam industri topi keledar tempatan.
Jenama itu terus berkembang sebagai perniagaan keluarga yang memberi tumpuan kepada keperluan penunggang motosikal di Malaysia.
ARC XRS Star Wars Special Edition akan mula dipasarkan menerusi pengedar sah dan peruncit terpilih di seluruh negara bermula 4 Julai ini pada harga RM370 seunit. Sementara itu, versi kanak-kanak ditawarkan pada harga RM135.
GALERI:






























