Buletin

MAZDA BANGUNKAN ZINC GREEN METALLIC, GUNA PADA MX-5

Mazda Motor Corporation telah membangunkan satu warna badan baharu yang dikenali sebagai Zinc Green Metallic.

Warna hijau moden ini menggabungkan elemen ketahanan dan kehalusan untuk memberikan impak visual yang kuat, namun kekal harmoni dengan landskap semula jadi serta persekitaran urban.

Model Pertama Warna Zinc Green Metallic

Mazda MX-5 bumbung lembut (soft top) spesifikasi Jepun dan Mazda MX-5 RF versi bumbung keras (retractable hardtop) akan menjadi model pertama yang menampilkan warna baharu ini.

Pengenalan rona tersebut akan dilakukan secara berurutan, manakala garis masa bagi pelancaran jualan sebenar mungkin berbeza bergantung kepada pasaran masing-masing.

Model MX-5 dalam warna Zinc Green Metallic tampil buat kali pertama semasa acara Karuizawa Meeting 2026 yang berlangsung pada 31 Mei 2026.

Acara berkenaan dianjurkan oleh para peminat tegar model MX-5 dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Eksekutif Karuizawa Meeting.

Sejarah Rona Hijau Generasi Mazda MX-5

Berdasarkan data dalaman, Mazda telah menawarkan kira-kira lapan puluh rona warna hijau setakat ini.

Pelbagai tona warna hijau tersebut pernah digunakan merentasi generasi terdahulu model MX-5 dan sentiasa mendapat sokongan hebat daripada para pelanggan.

Bagi memenuhi permintaan tinggi, warna hijau kini diperkenalkan buat kali pertama untuk MX-5 generasi keempat melalui rona baharu Zinc Green Metallic.

Inspirasi Industri dan Formulasi Teknikal Cat

Warna Zinc Green Metallic mengambil inspirasi daripada warna serta tekstur pada lapisan asas zink kromat primer, iaitu satu lapisan bawah untuk mempertingkatkan tahap ketahanan produk industri.

Kaedah ini menterjemahkan keindahan fungsi rasional kepada rasa ketahanan yang dizahirkan melalui warna dan tekstur.

  • Pada keadaan kurang cahaya, tekstur warna kelihatan padat seperti warna solid untuk menghasilkan tanggapan visual yang kemas dan berkuasa.
  • Pada bawah pancaran cahaya terang, kilauan logam halus pada permukaan kereta akan menyerlahkan lagi kecantikan reka bentuk badan bagi memberikan penampilan canggih serta moden.
  • Bagi mendapatkan hasil begitu, formulasi warna menggabungkan penggunaan serpihan logam kebiruan dengan saiz zarah dan susunan penjajaran yang dioptimumkan untuk memberikan tona warna yang kelihatan menarik dan kemas
  • Cat ini mendedahkan kepelbagaian ekspresi bergantung kepada perubahan arah cahaya dan masa yang beralih sepanjang hari bagi melengkapi pelbagai jenis suasana.
Google ads
Back to top button