
GP MONACO GUNA TALAAN ENJIN REV1, ELAK KEMALANGAN
Peraturan teknikal Formula 1 musim 2026 membawa perubahan terbesar dalam era moden sukan itu, terutamanya dari aspek sistem hibrid dan penggunaan kuasa elektrik. Namun, perkembangan teknologi tersebut turut menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan di beberapa litar tertentu.
Atas sebab itu, FIA telah memperkenalkan langkah luar biasa dengan mewajibkan penggunaan mod enjin khas semasa Grand Prix Monaco bagi mengelakkan kereta mencapai kelajuan yang dianggap terlalu tinggi dan berisiko.
Buat pertama kali musim ini, semua pasukan Formula 1 diwajibkan menggunakan tetapan enjin khas yang dikenali sebagai “Rev1” sepanjang hujung minggu perlumbaan di Monaco. FIA percaya langkah tersebut perlu dilaksanakan kerana kereta F1 generasi baharu mempunyai keupayaan pecutan yang jauh lebih agresif hasil gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem hibrid yang lebih berkuasa berbanding sebelum ini.
Kebimbangan utama FIA tertumpu kepada beberapa bahagian litar Monaco yang berpotensi menyaksikan peningkatan kelajuan secara mendadak. Antaranya termasuk laluan utama di hadapan pit, kawasan terowong ikonik Monaco serta pendakian menuju ke selekoh Massenet.
Walaupun Monaco terkenal sebagai litar jalan raya yang sempit dan berliku, teknologi baharu F1 2026 dijangka membolehkan kereta mencecah lebih 320 km/j di beberapa bahagian tertentu jika tiada sekatan dikenakan.

Peraturan baharu 2026 memperkenalkan sistem MGU-K yang mampu menghasilkan sehingga 350 kW kuasa elektrik, hampir menyamai output sebuah kereta sport berprestasi tinggi. Dalam mod biasa, kuasa elektrik maksimum tersebut boleh digunakan sehingga sekitar 290 km/j sebelum dikurangkan secara berperingkat dan akhirnya menjadi sifar pada sekitar 345 km/j.
Namun melalui mod Rev1 yang diwajibkan di Monaco, kuasa elektrik maksimum hanya boleh digunakan sehingga 200 km/j sahaja. Selepas itu, bantuan elektrik akan mula dikurangkan dengan ketara.
Apabila kelajuan mencecah sekitar 270 km/j, hanya kira-kira 100 kW kuasa elektrik masih tersedia, manakala pada 300 km/j sistem bantuan elektrik akan dimatikan sepenuhnya. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan pecutan pada kelajuan tinggi tanpa menjejaskan prestasi kereta secara keseluruhan.
Selain mengehadkan penggunaan kuasa elektrik, FIA turut mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penggunaan mod aerodinamik aktif “straight mode” sepanjang hujung minggu perlumbaan Monaco.
Sistem tersebut direka untuk mengurangkan rintangan udara ketika di laluan lurus, sekali gus meningkatkan kelajuan maksimum. Namun FIA bimbang penggunaan teknologi itu boleh menyebabkan kereta memasuki selekoh pertama Sainte Devote pada kelajuan yang terlalu tinggi dan meningkatkan risiko kemalangan atau brek terkunci.

Monaco sebenarnya merupakan antara litar yang paling mudah untuk menjana semula tenaga elektrik disebabkan terdapat banyak zon membrek dan selekoh perlahan, bateri hibrid boleh dicas semula dengan sangat berkesan sepanjang satu pusingan.
Keadaan ini menyebabkan pemandu mempunyai bekalan tenaga elektrik yang banyak untuk digunakan semula ketika memecut, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kelajuan yang membimbangkan FIA.
Walaupun perubahan ini kelihatan drastik, beberapa pemandu Formula 1 seperti Charles Leclerc dan Oliver Bearman percaya penggunaan mod enjin khas di Monaco akan menjadikan perlumbaan lebih semula jadi serta mengurangkan keperluan untuk mengurus penggunaan tenaga secara terlalu agresif.
Mereka juga melihat langkah itu sebagai cara terbaik untuk memastikan perlumbaan kekal kompetitif tanpa mengorbankan aspek keselamatan. Monaco mungkin terkenal sebagai salah satu litar paling perlahan dalam kalendar F1, tetapi dengan kemunculan teknologi hibrid generasi baharu dan sistem aerodinamik aktif, FIA tidak mahu mengambil risiko.
Dengan pengenalan mod enjin Rev1 serta larangan penggunaan “straight mode”, keselamatan kini menjadi keutamaan ketika Formula 1 melangkah ke era teknologi yang lebih canggih dan berkuasa.









