Buletin

ART OF SPEED 2026: DUA HARI PENUH ADRENALIN, SENI DAN GAYA HIDUP

Festival budaya kustom terbesar negara, Art of Speed (AOS) Malaysia, bakal kembali menggegarkan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos ini dengan membawa tema “Summer Festival – Kustom Bergaya”.

Memasuki edisi ke-15 penganjurannya, acara yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam itu dijangka sekali lagi menjadi tumpuan peminat automotif, seni, muzik dan gaya hidup dari dalam serta luar negara.

Bertempat di MAEPS yang memiliki ruang pameran dalaman seluas lebih 452,000 kaki persegi selain kawasan luar berkeluasan 320 ekar, AOS 2026 menjanjikan pengalaman lebih meriah menerusi pelbagai pameran kenderaan kustom, aktiviti interaktif, kolaborasi jenama terkenal serta festival muzik SoundCircus yang lebih besar berbanding edisi terdahulu.

Antara tarikan utama tahun ini ialah kehadiran tokoh-tokoh terkenal dunia dalam industri automotif dan budaya kustom, termasuk wakil daripada MOONEYES, Liberty Walk, Hawgholic, Vise Clothing, Hot Wheels Premium, DicE Magazine serta beberapa komuniti dari Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Taiwan, Singapura, Filipina dan Brunei.

Pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai jentera eksklusif yang jarang dipertontonkan kepada umum.

Antaranya ialah motosikal klasik Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dan Harley-Davidson Shovelhead 1966 daripada Vise Clothing, selain koleksi kereta modifikasi dari Thailand dan Taiwan serta kehadiran buat pertama kali syarikat talaan terkenal dunia, Liberty Walk.

Dalam masa sama, SoundCircus Festival 2026 bakal mencipta sejarah dengan enam pentas persembahan sepanjang dua hari festival.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan termasuk Ella bersama Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Hujan, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, dan ramai lagi, sekali gus menjadikan festival itu antara acara muzik terbesar tahun ini.

AOS Invitational Build-Off turut kembali dengan menampilkan lapan pembina motosikal kustom tempatan yang akan bersaing merebut peluang membawa hasil binaan mereka ke Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.

Selain itu, pemilik motosikal dan kereta juga boleh merakam foto kenderaan masing-masing di Red Carpet Photo Zone yang tampil dengan pencahayaan sinematik.

Festival kali ini turut memperkenalkan 10 kolaborasi bersama jenama antarabangsa dan tempatan seperti Liberty Walk, Hot Wheels, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.

Pengunjung juga boleh menyaksikan promosi eksklusif filem tempatan “Terbang” hasil kerjasama bersama Astro Shaw yang menampilkan aktiviti interaktif serta pameran kenderaan yang digunakan dalam filem berkenaan.

Bagi peminat diecast, Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi keempat kembali berlangsung di Dewan C dengan pelancaran model eksklusif Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34), selain kehadiran Ronald Wong yang merupakan Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium.

Pengunjung turut berpeluang melihat pameran khas Nissan Skyline GT-R sebenar hasil kerjasama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).

Turut mencuri perhatian ialah pelancaran beberapa model diecast eksklusif daripada Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB dan Mini GT x Liberty Walk yang hanya dijual sepanjang festival berlangsung.

Selain pameran automotif, AOS 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti gaya hidup termasuk Kulture Kartel, Automotive Flea Market, Collectible Alley, pertunjukan fesyen, pertandingan B-Boy dan rap battle, zon makanan, sesi pandu uji motosikal pelbagai jenama serta pengalaman Flying Fox merentasi kawasan konsert yang pertama seumpamanya di Asia.

Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti ikonik Kembara Passport dengan melengkapkan 24 lokasi cop untuk berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM80,000.

Hadiah utama termasuk sebuah motosikal kustom Thunder Motorcycles, Honda HR-V modifikasi khas oleh Qartel TV serta sebuah Vespa S 125.

Tiket hujung minggu ditawarkan pada harga promosi awal RM35 secara dalam talian, manakala harga di pintu masuk ialah RM40. Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta pemegang kad OKU menikmati kemasukan percuma.

Menurut Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, edisi ke-15 itu melambangkan pencapaian penting dalam usaha menjadikan AOS sebagai festival bertaraf antarabangsa yang menggabungkan budaya automotif, kreativiti dan muzik di bawah satu bumbung.

Beliau turut menyifatkan penyertaan Liberty Walk buat pertama kali sebagai satu detik bersejarah buat komuniti kustom di rantau ini.

Google ads
Back to top button