
ART OF SPEED: TITIK TEMU KOMUNITI KUSTOM ASIA
Selepas 15 tahun berkembang daripada sebuah perhimpunan komuniti kecil kepada festival bertaraf antarabangsa, Art of Speed (AOS) kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara gaya hidup automotif paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Festival yang berlangsung pada 1 dan 2 Ogos di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) itu bukan lagi sekadar menghimpunkan peminat kereta dan motosikal kustom, malah menjadi medan pertemuan penggiat seni, fesyen, muzik serta budaya kreatif dari seluruh rantau.
Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan pembina kenderaan, jenama dan pengumpul dari Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Brunei dan Filipina.
Kehadiran mereka membuktikan bagaimana AOS berjaya berkembang daripada acara tempatan kepada platform serantau yang semakin mendapat perhatian komuniti automotif global.

Antara tarikan utama ialah beberapa jentera eksklusif yang dibawa khas ke Malaysia, termasuk Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dari Jepun, Harley-Davidson Shovelhead 1966 oleh Vise Clothing, sembilan kereta modifikasi serta model klasik dari Bangkok, selain kenderaan pameran hasil sentuhan bengkel terkenal Jepun, Garage Yoshida dan Garage Defend.
Lebih menarik, kira-kira 15 motosikal chopper klasik akan melakukan konvoi dari Bangkok ke Malaysia semata-mata untuk menyertai festival berkenaan, sekali gus menjadikan acara itu lebih daripada sekadar pameran statik.
Buat julung kalinya, jenama talaan terkenal Jepun, Liberty Walk (LBWK), turut menyertai AOS. Dengan kerjasama Wishlist Project dan EXN Lube, mereka akan memperkenalkan Nissan Skyline R34 Super Silhouette pertama di Malaysia. Pengunjung juga berpeluang mendapatkan koleksi barangan eksklusif hasil kolaborasi khas antara Liberty Walk dan Art of Speed.
Menurut Pengarah Festival, Asep Ahmad Iskandar, perkembangan AOS ke peringkat antarabangsa adalah hasil hubungan yang dibina sejak sekian lama bersama komuniti kustom di seluruh dunia, khususnya di Asia Tenggara.

Beliau berkata, walaupun festival itu mempunyai rangkaian dengan penggiat dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, fokus utama tetap diberikan kepada usaha memperkukuh ekosistem budaya kustom di rantau ini.
Katanya, pengiktirafan daripada pelbagai jenama antarabangsa membuktikan Malaysia kini dilihat sebagai destinasi penting dalam dunia automotif kustom. Antara rakan strategik yang terus menyokong AOS termasuk Hot Wheels, Harley-Davidson, Vespa, Kyosho dan DJI.
Sejak diperkenalkan pada 2012, Art of Speed telah melalui evolusi yang signifikan. Selepas berpindah ke MAEPS pada 2015, festival ini tidak lagi hanya menampilkan kereta dan motosikal ubah suai, sebaliknya berkembang menjadi sebuah festival gaya hidup yang menggabungkan seni visual, fesyen, muzik, budaya jalanan dan koleksi eksklusif.
Komuniti pengumpul die-cast turut menikmati tumpuan menerusi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang kini memasuki edisi keempat.
Konvensyen itu menjadi antara perhimpunan terbesar peminat Hot Wheels di Asia Tenggara dengan kehadiran pengumpul dari pelbagai negara, selain menawarkan model edisi khas dan sesi bersama pereka terkenal.
Tahun ini, Ronald Wong, pereka utama Hot Wheels Premium, akan hadir bertemu peminat, manakala Hall C akan menampilkan pameran khas Nissan Skyline GT-R hasil kerjasama dengan Malaysia Skyline Owners Group.
Lebih daripada sebuah festival automotif, Art of Speed kini mencerminkan perubahan landskap budaya moden apabila dunia modifikasi kenderaan semakin berkait rapat dengan industri kreatif. Kenderaan kustom, fesyen, muzik, seni dan budaya koleksi bergabung membentuk satu gaya hidup yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Dengan semakin ramai pembina antarabangsa sanggup menghantar kereta dan motosikal mereka ke Malaysia semata-mata untuk menyertai festival ini, Art of Speed bukan sahaja menjadi pentas pameran budaya kustom, malah semakin memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai antara pusat rujukan utama budaya automotif kreatif di Asia Tenggara.
- BACA: SUZUKI CARS MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN FLUX, TAWAR LANGGANAN KENDERAAN LEBIH FLEKSIBEL
- BACA: KENAPA KERETA BAHARU KINI DIPENUHI KAMERA?
- BACA: THAILAND LABUR DANA RM2.88 BILION, GALAK RAKYAT TUKAR KENDERAAN LAMA KEPADA EV
- BACA: GEELY GALAXY CRUISER 700 TAMPIL GAH, SUV ‘BOXY’ PERTAMA DENGAN KUASA 1,113HP



