Buletin

TOYOTA MAHU ‘PAKATAN BESAR’ JEPUN LAWAN EV CHINA

Industri automotif Jepun berdepan cabaran terbesar dalam beberapa dekad apabila kebangkitan pesat pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China mula menghakis penguasaan jenama-jenama Jepun di pasaran global.

Naib Pengerusi Toyota, Koji Sato berkata, pengeluar automotif Jepun perlu mengetepikan persaingan tradisional dan bekerjasama dalam beberapa aspek pengeluaran bagi mengurangkan kos serta meningkatkan daya saing antarabangsa.

Menurutnya, industri automotif Jepun berisiko ketinggalan sekiranya tiada perubahan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Beliau mencadangkan supaya komponen asas seperti keluli, pendawaian (wiring harness) dan bahan plastik diseragamkan antara pengeluar utama Jepun.

Langkah itu dijangka dapat menjimatkan kos pembangunan serta memberi lebih banyak ruang kepada syarikat untuk melabur dalam teknologi yang menjadi tumpuan pengguna masa kini.

Antara bidang yang boleh diberi keutamaan ialah pembangunan perisian kenderaan, sistem bantuan pemandu, teknologi bateri pengecasan pantas dan kepelbagaian rangkaian kuasa.

Cadangan tersebut turut mengambil kira hakikat bahawa pembekal komponen kini menghasilkan kira-kira 70,000 variasi pendawaian berbeza untuk pelbagai model. Pengurangan jumlah variasi itu diyakini mampu menurunkan kos pengeluaran secara signifikan.

Kenyataan itu hadir ketika pengeluar automotif China semakin mengukuhkan kedudukan di pasaran antarabangsa.

Di Eropah, jualan gabungan lima pengeluar China iaitu Geely Group, SAIC Motor, BYD, Chery Automobile dan Leapmotor dilaporkan mencecah 138,140 unit pada Mei lalu, sekali gus mengatasi jumlah jualan enam pengeluar utama Jepun yang merangkumi Toyota, Suzuki, Honda, Nissan, Mazda dan Mitsubishi sebanyak 130,424 unit.

Di China pula, pengeluar Jepun terus berdepan tekanan apabila pengguna semakin memilih EV keluaran tempatan yang menawarkan teknologi lebih moden, perisian pintar, sistem pengecasan lebih pantas serta harga lebih kompetitif.

Sepanjang separuh pertama tahun ini, jualan Toyota di China dilaporkan susut 17 peratus, manakala Honda merekodkan penurunan lebih ketara sebanyak 35 peratus.

Trend sama turut mula kelihatan di beberapa pasaran lain termasuk Asia Tenggara dan Australia apabila kemasukan EV mampu milik dari China semakin mendapat sambutan pengguna.

Sebagai Pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA), Sato melihat penyeragaman komponen sebagai satu pendekatan baharu yang boleh mewujudkan piawaian industri Jepun, sekali gus memudahkan pembekal menghasilkan komponen untuk pelbagai jenama dengan lebih cekap.

Bagaimanapun, usaha itu bukan mudah kerana ia memerlukan kerjasama rapat antara pelbagai pengeluar, model dan platform kenderaan yang berbeza.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan, Toyota percaya perubahan besar perlu dilakukan segera bagi memastikan industri automotif Jepun terus kekal relevan dalam era peralihan kepada kenderaan elektrik dan teknologi pintar.

Sato menegaskan industri automotif Jepun kini berada dalam fasa perubahan yang amat besar dan memerlukan pembaharuan menyeluruh agar mampu bersaing semula di pentas global.

Google ads
Back to top button