Buletin

BMW i3 TOURING BAKAL TAWAR RUANG LEBIH LUAS, JARAK GERAK SEHINGGA 912KM

BMW sedang membangunkan i3 Touring, sebuah wagon elektrik sepenuhnya yang dijangka diperkenalkan pada 2027 bagi meluaskan rangkaian kenderaan elektrik generasi baharu Neue Klasse.

Prototaip model itu dikesan menjalani ujian jalan raya dengan penyamaran pada bahagian hadapan dan belakang.

Berdasarkan imej yang dirakam, i3 Touring menampilkan reka bentuk yang hampir sama dengan sedan i3, tetapi menggunakan bumbung lebih panjang, tingkap sisi belakang berimej sporty dan pintu but yang direka untuk memudahkan akses ke ruang kargo.

Model yang diuji turut kelihatan menggunakan rim aloi 20-inci, angkup brek merah serta bampar lebih agresif yang menyerupai pakej M Sport.

Di bahagian kabin, i3 Touring dijangka mewarisi susun atur sedan i3, termasuk skrin infotainmen bersaiz 17.9-inci, stereng empat jejari dan sistem kokpit BMW Panoramic iDrive.

Bagaimanapun, kelebihan utama model wagon itu dijangka terletak pada ruang kepala penumpang belakang yang lebih luas serta kapasiti ruang bagasi yang meningkat. Ciri berkenaan menjadikannya pilihan menarik untuk keluarga yang memerlukan ruang tambahan tanpa beralih kepada SUV bertubuh lebih tinggi.

Dari segi prestasi, i3 Touring dijangka menggunakan rangkaian kuasa yang sama seperti sedan i3, termasuk konfigurasi dua motor elektrik dan pacuan semua roda xDrive.

Varian i3 40 xDrive menghasilkan kuasa 369hp dengan bateri berkapasiti 82.8kWj, yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 710km berdasarkan kitaran ujian WLTP.

Sementara itu, varian lebih berkuasa, i3 50 xDrive, menghasilkan 463hp dan menggunakan bateri 108.7kWj dengan jarak perjalanan maksimum yang didakwa mencapai 912km mengikut WLTP.

Bagaimanapun, angka jarak perjalanan bagi versi Touring berkemungkinan berbeza berikutan perbezaan berat dan ciri aerodinamik berbanding sedan.

Dalam perkembangan berkaitan, BMW turut membangunkan generasi baharu 3-Series Touring yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Model itu dijangka berkongsi pendekatan reka bentuk dengan i3 Touring, tetapi dibina menggunakan platform CLAR berbanding seni bina Neue Klasse khusus untuk kenderaan elektrik.

Antara varian yang dijangka ditawarkan ialah M350 xDrive dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang dipadankan teknologi hibrid ringan, menghasilkan kuasa 437hp.

Kedua-dua model wagon berkenaan dijangka memasuki pasaran Eropah pada 2027, dengan maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan penawaran masing-masing dijangka diumumkan secara berperingkat.

Google ads
Back to top button