Buletin

AKSI KERETA TERBANG TESLA KAGUMKAN DUNIA, TAPI RISIKO UNDANG-UNDANG MENANTI

Pengeluaran besar-besaran kereta terbang oleh Tesla berpotensi mendedahkan syarikat itu kepada tindakan undang-undang serta denda berjuta-juta dolar sekiranya teknologi berkenaan gagal memenuhi tahap keselamatan yang diperlukan.

Menurut Profesor Emeritus Jay Ritter dari Warrington College of Business, Universiti Florida, pembangunan kenderaan yang mampu terbang memerlukan tahap kebolehpercayaan amat tinggi bagi mengelakkan risiko kemalangan dan tuntutan mahkamah.

Beliau berkata, pengalaman Tesla berdepan kes mahkamah berkaitan keselamatan kenderaan menunjukkan betapa besarnya implikasi kewangan sekiranya berlaku insiden serius.

Pada Ogos 2025, Tesla diarahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$243 juta selepas kalah dalam tuntutan berkaitan kemalangan maut pada 2019 yang melibatkan kenderaan menggunakan sistem bantuan pemanduan Autopilot.

Ritter berkata, pengalaman sedemikian menjadikan tahap kebolehpercayaan hampir sempurna sebagai satu keperluan, namun sasaran itu sukar dicapai bagi teknologi kereta terbang yang masih berdepan pelbagai cabaran kejuruteraan.

Beliau turut menyatakan bahawa kebimbangan terhadap aspek kebolehpercayaan antara faktor yang menyebabkan pelaksanaan perkhidmatan teksi robotik Tesla tertangguh selama beberapa tahun.

Tesla sebelum ini mencuri perhatian menerusi demonstrasi terbaharu kereta sport elektrik Roadster yang memperlihatkan kenderaan itu melakukan aksi luar biasa, termasuk melompat melepasi halangan, berpusing pada paksi sendiri dan melayang seketika sebelum mendarat.

Persembahan itu mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyatakan kekagumannya terhadap demonstrasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, pula mendakwa Roadster berupaya melakukan pelbagai aksi dalam mod autonomi dan menyifatkan kenderaan itu sebagai mempunyai ciri kecerdasan tersendiri.

Bagaimanapun, kemampuan yang dipamerkan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan kesediaan teknologi berkenaan untuk digunakan secara meluas.

Menurut Ritter, cabaran utama bukan sekadar menghasilkan kenderaan yang mampu melakukan aksi di udara, sebaliknya memastikan ia dapat beroperasi secara konsisten dan selamat sebelum pengeluaran besar-besaran dilaksanakan.

Google ads
Back to top button