Buletin

BMW i5 eDRIVE40 M SPORT PRO (CKD) DAN BMW iX1 eDRIVE20L M SPORT DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM255K

BMW Group Malaysia sekali lagi mencatat detik penting dalam agenda elektrifikasinya apabila memperkenalkan BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan (CKD) – bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah yang sulung seumpamanya di rantau Asia-Pasifik.

Turut dilancarkan serentak ialah BMW iX1 eDrive20L M Sport, versi jarak roda panjang kepada SUV elektrik kompak popular jenama itu.

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD

Sebagai sedan eksekutif generasi baharu, i5 eDrive40 M Sport Pro menampilkan teknologi BMW eDrive generasi kelima yang dipertingkat, dengan jarak pemanduan sehingga 627km mengikut kitaran WLTP.

Dari segi rekaan, i5 tampil dengan garis badan yang lebih matang dan aerodinamik, digandingkan dengan elemen sporty menerusi pakej M Sport Pro.

Antara ciri utama termasuk gril BMW Iconic Glow dengan kemasan Shadowline, lampu hadapan Adaptive LED, rim aerodinamik 20-inci, brek M berwarna biru gelap serta spoiler belakang M.

Ruang but berkapasiti 490 liter disediakan, boleh diperluas melalui tempat duduk belakang lipat 40:20:40 dengan pintu but automatik.

Bahagian dalaman menonjolkan paparan melengkung BMW Curved Display yang menggabungkan skrin meter digital 12.3-inci dan skrin infotainmen 14.9-inci, bersama sistem operasi BMW OS 8.5. BMW Interaction Bar pula memperkenalkan jalur kawalan sentuh dengan pencahayaan ambien merentasi papan pemuka dan panel pintu.

Tempat duduk sport elektrik dengan memori, bumbung kaca panorama, upholsteri kulit Merino BMW Individual, sistem bunyi Bowers & Wilkins 18 pembesar suara, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin hawa empat zon serta kamera kabin semuanya disediakan untuk keselesaan maksimum.

Beralih pada kuasa, motor elektrik pacuan belakang menghasilkan 340hp dan 430Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam enam saat, dengan kelajuan maksimum 193km/j.

Bateri dan sistem penyejukan baharu termasuk penggunaan penukar silikon karbida membantu meningkatkan kecekapan, membolehkan jarak operasi antara 513 hingga 627km WLTP.

Pengecasan AC sehingga 22kW membolehkan bateri penuh dalam sekitar 4 jam 15 minit, manakala pengecasan pantas DC 205 kW mengisi 10–80% dalam 34 minit.

Sistem suspensi Adaptive Suspension Professional bersama Integral Active Steering turut dipasang bagi meningkatkan kestabilan dan kebolehkendalian.

Model ini dilengkapi Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus secara standard, merangkumi fungsi pemanduan separa autonomi, pemantauan trafik silang, brek kecemasan, bantuan lorong, pandangan 3D, rakaman pemanduan serta kawalan parkir jarak jauh.

Dari aspek digital, ia menyokong navigasi khusus EV, Digital Key Plus, eSIM peribadi, BMW Intelligent Personal Assistant dan integrasi penuh aplikasi My BMW.

Untuk harga, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan (CKD) ditawarkan pada harga bermula RM368,800.

BMW iX1 eDrive20L

Bagi iX1 eDrive20L, BMW memanjangkan jarak roda sebanyak 110mm dan keseluruhan panjang sebanyak 116mm bagi meningkatkan ruang kabin, terutamanya untuk penumpang belakang yang kini menikmati tambahan 81mm ruang kaki dan 107mm ruang lutut.

SUV ini tampil dengan rim 19-inci, gril tertutup rekaan baharu, lampu Adaptive LED dengan kemasan Shadowline serta lampu belakang LED berbentuk L. Kapasiti but mencecah 490 liter, dan boleh dibesarkan sehingga 1,600 liter.

Di dalam, ia dilengkapi paparan melengkung BMW OS 9, paparan head-up, bumbung kaca panorama tanpa palang tengah, tempat duduk sport, sistem audio Harman Kardon 12 pembesar suara serta upholsteri Veganza.

Motor elektrik hadapan menghasilkan 204hp dan 250Nm, memecut 0–100km/j dalam 8.6 saat. Bateri 66.5kWh memberikan jarak sehingga 433km WLTP, dengan pengecasan DC 130kW membolehkan 10–80 peratus dicapai dalam 32 minit.

Bagi BMW iX1 eDrive20L M Sport, model ini ditawarkan pada harga bermula RM255,000.

Jaminan dan pemilikan tanpa kebimbangan

BMW Group Malaysia turut menekankan pakej pemilikan “Relax. We Care.” yang merangkumi BMW Proactive Care, jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, servis lima tahun atau 100,000 km, perlindungan bateri voltan tinggi lapan tahun serta bantuan tepi jalan 24 jam.

Tawaran khas BMW 218 Gran Coupé Sport

Dalam perkembangan berkaitan, BMW turut menawarkan BMW 218 Gran Coupé Sport edisi khas terhad kepada 150 unit sehingga 31 Mac 2026, kini didatangkan standard dengan gril BMW Iconic Glow.

GALERI:

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD

BMW iX1 eDrive20L

Google ads
Back to top button