
HONDA SUPER-ONE EV DILANCARKAN DI SINGAPURA – HARGA SEKITAR RM591K
Honda terus mengukuhkan langkah dalam segmen kenderaan elektrik dengan melancarkan Super-One EV di Singapura, model kompak yang kini menjadi pintu masuk baharu jenama itu ke dunia EV.
Model ini dibangunkan daripada konsep Super-One Prototype yang dipamerkan di Japan Mobility Show 2025, dan mempunyai pertalian rapat dengan Honda N-One e: versi kei car elektrik yang dijual di Jepun.
Dari segi saiz, Super-One EV direka untuk persekitaran bandar dengan panjang 3,589mm, lebar 1,573mm dan tinggi 1,616mm, manakala jarak roda mencecah 2,520mm.
Dimensinya hampir setara dengan Leapmotor T03 serta Dacia Spring, namun radius pusingannya agak besar iaitu 5.2 meter – lebih besar berbanding Honda e yang hanya memerlukan 4.3 meter.

Kuasa digerakkan oleh satu motor elektrik di bahagian hadapan yang menghasilkan 70kW dan 162Nm tork.
Pemandu boleh memilih mod Normal, City, Sport dan ECON, selain mod Boost untuk pecutan tambahan. Sistem brek menggunakan cakera di hadapan dan dram di belakang.
Honda masih belum mendedahkan spesifikasi penuh bateri dan jarak pemanduan rasmi. Namun, pengeluar itu mengesahkan pengecasan pantas dari 20% ke 80% hanya mengambil masa sekitar 30 minit.
Berdasarkan model berkait rapatnya, N-One e:, terdapat kemungkinan Super-One EV menggunakan bateri 29.6kWh yang menyokong pengecasan AC sehingga 6kW dan DC sehingga 50kW.

Menariknya, versi produksi kini menggunakan port pengecasan CCS2, menggantikan sistem dua port (AC dan DC) pada prototaip sebelum ini.
Sebagai perbandingan, Honda N-One e: menggunakan motor 47kW dengan tork sama dan mampu bergerak sejauh 295km mengikut kitaran WLTC.
Oleh kerana Super-One EV lebih berkuasa dan sedikit lebih besar, jarak pemanduannya dijangka sedikit rendah sekiranya bateri yang sama digunakan.
Dari sudut reka bentuk, model ini menampilkan lampu utama LED berbentuk bulat, rim aloi 15-inci lapan jejari dengan tayar Yokohama Advan Fleva bersaiz 185/55 R15, serta lampu belakang LED.
Bahagian kabin pula dilengkapi skrin infotainmen 9-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, sistem penyaman udara automatik, sistem audio Bose lapan pembesar suara, serta pedal kawalan tahap regeneratif.
Ciri keselamatan yang disertakan juga agak menyeluruh, termasuk Adaptive Cruise Control dengan fungsi Low Speed Follow, sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran dan mitigasi keluar lorong, serta enam beg udara.
Di Singapura, Super-One EV ditawarkan dalam satu varian penuh dengan harga SGD 187,999 (sekitar RM591,179).
Honda turut mengesahkan bahawa model ini akan diperkenalkan di Jepun sebelum penghujung 2026, diikuti pasaran UK dan negara lain selepas itu.
- BACA: “JANGAN TERTIPU DENGAN FOTO AI” – GARUDA INDONESIA NAFI REKRUT WANITA MENYAMAR PRAMUGARI BATIK AIR
- BACA: PENDUDUK TETAP SINGAPURA UBAH NOMBOR PLAT KERETA ISI RON95 DIDENDA RM9,000
- BACA: KIA PERKENAL EV2 – BATERI 61.0kWh, TAWAR JARAK GERAK 448KM
- BACA: JETOUR T2 RAIH PENARAFAN KESELAMATAN 5-BINTANG ASEAN NCAP







