Buletin

MINI COUNTRYMAN S FIERY STALLION EDITION DILANCARKAN – TERHAD 18 UNIT SAHAJA, HARGA RM260K

MINI Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan edisi khas terbaharu, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition – sebuah model pemasangan tempatan yang dihasilkan dalam jumlah amat terhad, hanya 18 unit sahaja untuk pasaran Malaysia.

MINI Countryman S Fiery Stallion Edition (CKD) ini ditawarkan pada harga bermula RM260,888.

Sebagai model paling versatil dalam barisan MINI, Countryman S menerima sentuhan visual eksklusif bagi membezakan versi Fiery Stallion ini daripada varian standard.

Antaranya termasuk kemasan luaran berinspirasikan dunia permotoran, digandingkan dengan bumbung berwarna Vibrant Silver yang memberikan kontras elegan namun sporty.

Bahagian sisi pula dihiasi pelekat siluet ‘Fire Horse’ yang seakan-akan api sedang berlari, melambangkan pergerakan dan semangat tanpa henti.

Di bahagian hadapan, logo khas berbentuk kuda jantan garang ditempatkan pada gril sebagai identiti utama edisi ini. Sementara itu, penutup tangki bahan api di belakang menerima grafik tapak ladam kuda – simbol tuah dan kekuatan – melengkapkan keseluruhan tema reka bentuk.

Masuk ke ruang kabin, pemilik akan disambut dengan kemasan ambang pintu berukir “Fiery Stallion Edition” bersama nombor siri 1 hingga 18.

Menariknya, pemilihan nombor ini turut merujuk kepada angka “118” yang sering dikaitkan dengan maksud kemakmuran dan permulaan baharu. Turut disertakan ialah kunci khas dengan ukiran siluet kuda berapi, sebagai tanda eksklusiviti setiap unit.

Dari sudut mekanikal, edisi khas ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbocharged yang menghasilkan kuasa maksimum 204hp dan tork 300Nm.

Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 7.4 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 228 km/j.

Dimensi badan direkodkan sepanjang 4,433mm, lebar 1,843mm dan tinggi 1,656mm, dengan jarak roda 2,692mm. Berat kosong kenderaan ialah 1,620kg.

Kapasiti ruang but pula adalah 505 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Untuk sistem bantuan pemandu, model ini dilengkapi pakej Driving Assistant, Driving Assistant Plus serta Parking Assistant Plus bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan ketika pemanduan serta parkir.

Dari sudut pemilikan, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition hadir bersama program Bantuan Tepi Jalan MINI selama lima tahun.

Perkhidmatan ini merangkumi sokongan 24 jam sepanjang tahun, bantuan di lokasi, perkhidmatan tunda percuma, kenderaan gantian, penginapan hotel, penyelesaian mobiliti serta perkhidmatan repatriasi sekiranya diperlukan. Program ini boleh diakses melalui talian 1800-88-8808.

Selain itu, setiap pembelian turut disertakan waranti standard dua tahun, dengan pilihan lanjutan waranti dan pakej servis bagi memberikan ketenangan jangka panjang kepada pemilik.

MINI Malaysia juga menawarkan kemudahan tempahan servis secara dalam talian melalui platform rasmi di https://service.mini.my/, membolehkan pelanggan menetapkan janji temu di pusat pengedar sah pilihan mereka dengan lebih mudah dan pantas.

Melengkapkan pengalaman pemilikan premium, MINI Malaysia meneruskan inisiatif “Relax. We Care.” yang membawa pendekatan sokongan menyeluruh kepada pelanggan.

Ini termasuk MINI Proactive Care yang menggunakan data sensor kenderaan untuk mengesan potensi masalah lebih awal, serta MINI ConnectedDrive yang menyediakan kemas kini perisian over-the-air dan pengurusan kenderaan secara digital melalui aplikasi My MINI dan sistem iDrive.

Di bawah program MINI Service & Repair Inclusive (MSRI), pelanggan turut menikmati waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun serta perlindungan servis sehingga 60,000 km.

Bagi model elektrik pula, perlindungan servis dilanjutkan sehingga enam tahun dengan waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun.

GALERI:

Google ads
Back to top button