Buletin

BYD SEAL 6 EV RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK 485KM, HARGA BERMULA RM100K

BYD SEAL 6 EV rasmi dilancarkan hari ini, menjadikan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyaksikan pelancaran antarabangsa model baharu ini.

Model sedan segmen-C serba elektrik ini hadir dengan rekaan moden, ruang dalaman luas dan teknologi terkini, ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Dynamic dan Premium.

BYD SEAL 6 EV menjadi model pertama BYD yang dilengkapi dengan sistem suspensi baharu, dual ball-joint MacPherson Strut di hadapan bersama multi-link di belakang. Konfigurasi ini dipadankan dengan pacuan roda belakang (RWD), memberikan pemanduan lebih seimbang, kawalan lebih tepat serta rasa sporty.

Dengan ukuran panjang 4,720mm dan jarak roda 2,820mm, SEAL 6 EV muncul sebagai antara sedan segmen-C paling besar di pasaran Malaysia.

Ia menawarkan 24 ruang storan pintar serta kapasiti kargo keseluruhan 525 liter (termasuk bonet hadapan), menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian.

Kedua-dua varian ini juga ditawarkan tiga pilihan warna luaran iaitu;

  • Arctic White
  • Harbour Grey
  • Misty Blue

Sementara, warna bahagian dalam hadir dengan warna hitam bersama kelabu, bagi memberikan nuasana mewah dan premium.

Bahagian kabin tampil dengan gaya minimalis tetapi premium, dilengkapi skrin sesentuh 12.8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kawalan suara berbahasa Inggeris, pengecas telefon tanpa wayar dan sistem bunyi sehingga 8 pembesar suara (varian Premium).

Kedua-dua varian hadir dengan kerusi balutan kulit sintetik, larasan kuasa untuk pemandu, sistem pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5 serta bumbung suria panoramik.

Dari segi kuasa, untuk varian Premium, sedan ini menghasilkan 160kW (214hp) dan 330Nm tork, membolehkan pecutan 0-100km/j hanya 7.5 saat, manakala varian Dynamic dengan 95kW (127hp) sesuai bagi pemanduan lebih santai.

Kedua-dua varian dipacu oleh motor elektrik berkuasa tinggi yang dipadankan dengan BYD Blade Battery, memberikan jarak gerak sehingga 485km (NEDC).

Untuk keselamatan, BYD SEAL 6 EV dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera pandang 360 darjah, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Front Collision Warning, Lane Departure Warning, kawalan kestabilan elektronik serta pemantau tekanan tayar.

Model ini menyokong pengecasan AC Type 2 (7kW) dan DC CCS2 (100kW) serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan kenderaan bertindak sebagai sumber kuasa mudah alih.

BYD SEAL 6 EV ditawarkan pada harga bermula RM100,000 untuk varian Dynamic dan RM115,800 bagi varian Premium.

Sebagai promosi pelancaran, 800 pembeli terawal akan menerima pakej eksklusif bernilai sehingga RM6,288, termasuk pengecas dinding percuma atau program pengecasan mudah alih selama setahun untuk penghuni kediaman bertingkat, selain rebat tunai dan aksesori tambahan.

Model ini turut dilindungi jaminan kenderaan selama 6 tahun/150,000km, jaminan unit pacuan elektrik 8 tahun/160,000km, serta perlindungan bateri Blade 8 tahun/160,000km.

GALERI:

Google ads
Back to top button