
BYD SEALION 08 DILANCAR DI CHINA – TAWAR PILIHAN PHEV DAN EV DENGAN BATERI BLADE GENERASI KEDUA
BYD secara rasmi memperkenalkan Sealion 08 ke pasaran China sebagai SUV bersaiz besar yang ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV).
Sebanyak lapan varian ditawarkan dengan harga antara 229,900 yuan hingga 279,900 yuan (RM138,309 – RM168,390).
Model ini menampilkan bahasa reka bentuk Ocean Aesthetics 2.0 yang lebih moden dan aerodinamik. Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu siang LED “Ice Eye” yang menggunakan 132 sumber cahaya LED berkuasa tinggi.
Manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu melintang yang diinspirasikan daripada pergerakan ombak laut dalam.

Dari segi saiz, Sealion 08 mempunyai panjang 5,115mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,800mm dengan jarak roda mencecah 3,030mm. SUV ini ditawarkan dengan pilihan konfigurasi lima atau enam tempat duduk.
Ruang kabin dilengkapi paparan infotainmen tengah bersaiz 17.3-inci, panel instrumen digital 12.3-inci serta paparan realiti tambahan (AR-HUD) 26-inci. Tempat duduk hadapan hadir dengan pelarasan elektrik lapan hala, fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan badan 10 titik.
Bagi versi enam tempat duduk, BYD turut menyediakan tempat duduk “zero-gravity” untuk pemandu dan penumpang baris kedua sebelah kanan bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh.
Sistem hiburan turut dipertingkatkan menerusi skrin siling definisi tinggi 21.4-inci untuk penumpang belakang serta sistem audio Devialet 25 pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos. Selain itu, SUV ini turut dilengkapi peti sejuk terbina dalam berkapasiti 7.3 liter.

Kapasiti penyimpanan juga cukup luas. Versi lima tempat duduk menawarkan ruang kargo belakang sehingga 943 liter bersama ruang simpanan hadapan 201 liter, manakala versi enam tempat duduk menyediakan ruang bagasi 317 liter yang boleh diperluaskan kepada 1,173 liter apabila tempat duduk dilipat.
Spesifikasi Utama BYD Sealion 08 PHEV
- Enjin turbo 1.5 liter dengan kuasa maksimum 115kW.
- Varian motor tunggal menghasilkan 200kW (268hp).
- Varian dwi-motor menggunakan dua motor elektrik 200kW (268hp) setiap satu.
- Bateri Blade Generasi Kedua berkapasiti 55.843kWh.
- Jarak pemanduan elektrik penuh antara 350km hingga 400km (CLTC).
- Jarak keseluruhan gabungan sehingga 1,650km.
Spesifikasi Utama BYD Sealion 08 EV
- Varian pacuan roda belakang (RWD) menghasilkan 370kW (497hp).
- Varian pacuan semua roda (AWD) menggunakan motor hadapan 215kW (288hp) dan motor belakang 370kW (497hp).
- Pecutan 0-100 km/j antara 3.9 saat hingga 5.9 saat bergantung kepada varian.
- Bateri Blade Generasi Kedua berkapasiti 115.072kWh.
- Jarak pemanduan sehingga 800km hingga 900km (CLTC).
Dari aspek pengendalian, Sealion 08 menggunakan suspensi hadapan jenis double-wishbone dan suspensi belakang lima pautan.
Ia turut dipadankan dengan sistem suspensi udara pintar DiSus-A yang membolehkan fungsi pratonton keadaan jalan, stereng roda belakang aktif, mod “crab walk” serta kawalan kestabilan bagi mengurangkan risiko terbalik.
SUV ini juga dilengkapi teknologi bantuan pemanduan pintar God’s Eye 5.0, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara model paling canggih dalam barisan kenderaan BYD ketika ini.
GALERI:










