Buletin

THAILAND RANCANG ROMBAK CUKAI EKSAIS KENDERAAN BERDASARKAN PELEPASAN KARBON

Kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan perubahan besar terhadap struktur cukai eksais kenderaan negara itu dengan menjadikan kadar pelepasan karbon sebagai asas utama penilaian, menggantikan pendekatan sedia ada yang lebih tertumpu kepada jenis bahan api.

Cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan Thailand itu bertujuan mempercepatkan peralihan industri automotif ke arah teknologi lebih bersih, sambil memastikan pengeluar kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) tidak terjejas secara mendadak.

Di bawah cadangan tersebut, pengeluar automotif yang beroperasi di Thailand berpotensi menikmati kadar cukai eksais yang lebih rendah sekiranya memenuhi beberapa syarat tertentu.

Antaranya termasuk mempunyai kemudahan pengeluaran di Thailand, menggunakan komponen atau bahan mentah tempatan serta menghasilkan kenderaan untuk pasaran eksport.

Menerusi sistem baharu itu, klasifikasi kenderaan tidak lagi ditentukan berdasarkan jenis bahan api semata-mata, sebaliknya akan mengambil kira jumlah pelepasan karbon yang dihasilkan. Pendekatan ini dijangka memberi galakan kepada syarikat automotif untuk menghasilkan kenderaan beremisi rendah tanpa meminggirkan pengeluar sedia ada.

Cadangan berkenaan turut merangkumi pelbagai teknologi selain kenderaan elektrik bateri (BEV). Pengeluar kenderaan konvensional boleh memanfaatkan dasar itu untuk beralih kepada pengeluaran model hibrid, hibrid plug-in (PHEV) serta kenderaan elektrik jarak lanjutan atau Range Extended Electric Vehicle (REEV).

Ketua Pengarah Jabatan Eksais Thailand, Pornchai Thiraveja, berkata pendekatan tersebut membolehkan kilang pemasangan dan pengeluar komponen yang selama ini terlibat dalam industri enjin pembakaran dalaman menggunakan kepakaran sedia ada sambil menyesuaikan diri dengan teknologi baharu secara berperingkat.

Menurut beliau, langkah itu juga penting bagi mengekalkan peluang pekerjaan dalam sektor automotif ketika industri sedang melalui transformasi ke arah elektrifikasi.

Pada masa sama, Jabatan Eksais Thailand masih memperincikan rangka kerja dasar tersebut dan menegaskan bahawa perbincangan perlu memberi tumpuan kepada proses peralihan keseluruhan industri daripada kenderaan berasaskan petrol kepada kenderaan elektrik, bukannya semata-mata mengenai kadar cukai.

Laporan media tempatan menyatakan rombakan itu berasaskan tiga matlamat utama, iaitu menarik kemasukan teknologi dan model kenderaan baharu yang boleh mendorong pelaburan domestik, mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab pengeluaran serta eksport kenderaan elektrik global, dan memperkasakan rantaian bekalan tempatan bagi menghasilkan komponen serta teknologi bernilai tinggi untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

Melalui strategi tersebut, Thailand berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, meningkatkan daya saing industri automotif negara serta mempercepatkan pembangunan ekosistem kenderaan rendah karbon di rantau Asia.

Google ads
Back to top button