Buletin

BYD SEALION 08 BAKAL DEBUT – KUASA 480KW, JARAK GERAK 1,000KM

Imej intipan SUV baharu BYD Sealion 08 telah mula tersebar menjelang pelancarannya di Beijing Auto Show 2026.

Model ini merupakan SUV flagship dalam siri Ocean BYD yang akan duduk di atas beberapa model sedia ada dari segi saiz dan teknologi.

Sealion 08 tampil sebagai SUV bersaiz penuh dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk. Dimensinya dianggarkan melebihi 5,000mm panjang, dengan jarak roda lebih 3,000mm, menjadikannya antara model paling besar dalam rangkaian Ocean.

Reka bentuknya menunjukkan pendekatan lebih tegak dan praktikal, memberi fokus kepada ruang kabin yang luas berbanding gaya coupe SUV.

Model ini menggunakan bahasa rekaan terkini Ocean Series BYD dengan wajah hadapan lebih minimalis, lampu LED nipis, serta garis badan yang lebih kemas.

Unit ujian juga menunjukkan kehadiran LiDAR di atas bumbung, menandakan sistem bantuan pemanduan pintar tahap tinggi akan menjadi sebahagian daripada pakejnya.

BYD Sealion 08 dijangka ditawarkan dalam dua konfigurasi utama iaitu elektrik penuh (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV).

Versi BEV dikatakan menggunakan seni bina 800V bersama bateri Blade generasi baharu. Varian dwi-motor berkemungkinan menghasilkan kuasa melebihi 480kW dengan pecutan 0–100 km/j dalam bawah 5 saat.

Terdapat juga dakwaan awal mengenai jarak perjalanan sehingga sekitar 1,000 km bagi versi tertentu, namun angka ini masih belum disahkan secara rasmi.

SUV ini juga dijangka dilengkapi sistem suspensi udara DiSus-A, teknologi bantuan pemanduan berasaskan LiDAR, serta kemungkinan sistem stereng roda belakang untuk meningkatkan kelincahan walaupun saiznya besar.

Keseluruhan pakej ini menunjukkan Sealion 08 disasarkan sebagai SUV elektrik premium dengan fokus kepada keselesaan, ruang dan teknologi pintar.

Model ini dijadualkan membuat debut rasmi di Beijing Auto Show 2026 pada akhir April 2026, dan akan menjadi antara model utama dalam barisan baharu SUV besar BYD.

Google ads
Back to top button