Buletin

CHERY ICAR V27 DEBUT DI CHINA – SUV EREV DENGAN JARAK GERAK 1,000KM, HARGA SEKITAR RM122K

Chery memperkenalkan satu lagi model baharu di bawah sub-jenama iCar dengan kemunculan rasmi iCar V27 di Auto Guangzhou 2025.

Chery iCar V27 sebelum ini diperlihatkan buat kali pertama di UAE pada Ogos lalu dengan nama iCaur, dan kini kembali ke pasaran asalnya sebagai model perintis teknologi hibrid jarak jauh (extended-range) untuk jenama tersebut.

Pelancarannya disasarkan bermula suku pertama 2026, dengan harga jangkaan antara AS$28,000 – AS$42,000 (RM122,000 – RM184,000).

Model V27 ini sudah pun didaftarkan dengan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), sekali gus mengesahkan spesifikasi awalnya.

Bahagian hadapannya menampilkan rekaan ringkas dengan gril tirus yang dipadankan bersama lampu berbentuk empat segi, serta dikelilingi jalur LED bulat. Bampar hadapan turut diberikan pelindung perak bagi menyerlahkan imej lasaknya.

Dari sisi pula, V27 mengekalkan bahasa reka bentuk berkotak dengan garis badan yang tegas—mirip gaya utilitarian pada model iCar V23. Ciri ‘blind window’ di belakang dan modul fungsi pada bahagian hadapan sisi (yang menempatkan kamera serta modul NFC) juga dikekalkan.

Dua versi panjang ditawarkan:

  • 4,909mm (versi “backpack” kecil)
  • 5,055mm (versi tayar gantian luar)

Lebarnya 1,976mm, manakala ketinggian mencecah 1,855mm atau 1,894mm bergantung kepada pemasangan rak bumbung. Jarak roda pula 2,910mm.

Masuk ke dalam, reka bentuk dalaman mengikuti tema famili iCar tetapi dengan perincian yang lebih kemas. Skrin infotainment mengapung menjadi tumpuan utama papan pemuka, dengan corong udara dan deretan butang fizikal di bawahnya bagi memudahkan kawalan ketika pemanduan.

Konsol tengah pula dilengkapi pengecas tanpa wayar, tombol pemilih mod pemanduan dan ruang pemegang cawan.

Seperti model iCar lain, ia dijangka hadir tanpa kluster meter tradisional, semua paparan disatukan melalui skrin tengah. Tempat duduk belakang pula menawarkan konfigurasi tiga tempat duduk bersama corong pendingin udara tersendiri.

Dari segi kuasaa, iCar V27 menggunakan gabungan enjin 1.5T dengan motor elektrik. Enjin tersebut menghasilkan 105kW, manakala pilihan pacuan belakang dan pacuan semua roda turut disediakan. Versi AWD dijangka menawarkan kuasa sehingga 335kW (449hp).

Untuk jarak gerak, V27 mampu bergerak 200km sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik mengikut standard CLTC, manakala jarak gerak keseluruhan dianggarkan melebihi 1,000km.

Model ini juga akan menerima versi yang lebih premium pada masa akan datang, dilengkapi sistem LiDAR serta cip berprestasi tinggi daripada Horizon Robotics untuk keupayaan bantuan pemandu yang lebih maju.

Google ads
Back to top button