Buletin

iCAR V27 DIDEDAHKAN DI DUBAI – TAMPIL ELEGAN DENGAN KUASA SEKITAR 449HP

Jenama iCAR di bawah Chery secara rasmi telah mendedahkan foto intipan model SUV terbaharunya, iCAR V27, bakal membuat penampilan sulung global di Dubai pada 1 Ogos ini.

Dari segi rekaan, iCAR V27 mengetengahkan gaya lasak berkonsepkan off-road dengan bentuk badan yang tegap dan berpetak, selari dengan trend semasa.

Lampu utamanya berbentuk segi empat lengkap dengan jalur LED berbentuk bulat, manakala gril hadapan yang berlapis digabungkan bersama bampar tebal untuk menyerlahkan keupayaan mendaki.

Di bahagian sisi, SUV ini menampilkan lengkuk fender yang luas di hadapan dan belakang, digandingkan dengan rim lima jejari yang memberi kesan visual lebih lebar.

Garis bumbungnya kekal mendatar, memperkuatkan identiti berpetak yang konsisten. Bahagian belakang kenderaan masih ditutupi sepenuhnya, namun besar kemungkinan ia menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Spoiler bumbung turut disertakan di belakang bersama bekas tayar gantian yang dilengkapi lampu brek tinggi. Rekaan lampu belakang pula menggunakan susunan berkembar berbentuk segi empat, manakala pintu belakang dibuka secara sisi – satu ciri yang sering dikaitkan dengan SUV lasak.

Bampar belakang turut mengikuti bahasa rekaan di hadapan, menekankan rupa off-road yang agresif.

Dari sudut prestasi, iCAR V27 dijangka menggunakan sistem janaan kuasa jarak jauh (extended-range) yang menggabungkan enjin 1.5T bersama motor elektrik.

Varian pacuan empat roda (4WD) diramal menawarkan kuasa maksimum sekitar 449hp. Dalam mod elektrik penuh mengikut standard CLTC, kenderaan ini mampu mencapai jarak sehingga 200km.

Harga anggaran antara 200,000 hingga 250,000 yuan, iaitu sekitar RM129,000 hingga RM161,000.

Google ads
Back to top button