
CHERY LANCAR TEKNOLOGI SUPER HYBRID DAN PERKENALKAN TIGGO 7 & TIGGO 8 CSH
Chery Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap mobiliti masa depan yang lebih lestari dan cekap tenaga dengan memperkenalkan teknologi terbaharu, Chery Super Hybrid (CSH).
Pelancaran teknologi ini turut disertakan dengan pratonton rasmi dua model SUV plug-in hibrid (PHEV), Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV, menandakan langkah serius Chery dalam segmen elektrifikasi tempatan.
Teknologi Super Hybrid Chery: Lonjakan Baharu dalam Mobiliti Pintar
CSH bukan sekadar sistem hibrid biasa. Ia menggabungkan keupayaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dengan kecekapan sistem hibrid elektrik generasi baharu, menghasilkan gabungan prestasi dan kecekapan yang sukar ditandingi.

Teknologi ini adalah hasil lebih dua dekad usaha penyelidikan dan pembangunan Chery dalam bidang tenaga bersih sejak 2001.
Jantung kepada sistem CSH ialah enjin 1.5L turbo yang direka khusus untuk hibrid, dengan kecekapan terma setinggi 44.5% – antara yang tertinggi dalam industri global.
Dipadankan bersama motor elektrik berkuasa tinggi, sistem ini mampu menjana gabungan kuasa sehingga 255kW dan 525Nm, memberikan pengalaman pemanduan yang lancar, responsif dan jimat tenaga.
Antara ciri utama yang ditampilkan pada sistem hibrid ini:
- Transmisi Hibrid Khusus (DHT) tanpa gear tetap – Menawarkan peralihan kuasa yang pintar dan lancar dengan kecekapan mekanikal sehingga 98.5%.
- Bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti tinggi, disahkan IP68, tahan suhu ekstrem hingga 95°C dan menyokong pengecasan pantas 30% ke 80% dalam 20 minit.
- Sistem Perlindungan Keselamatan Bateri ‘Guardian’ – Menjamin keselamatan dan prestasi optimum dalam pelbagai situasi.
- Jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200 km, mengurangkan kebimbangan berkaitan jarak perjalanan.
- Sistem Pengurusan Tenaga Pintar, membolehkan kenderaan bertukar mod antara elektrik dan hibrid secara automatik bagi menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon.
Gabungan teknologi ini menjadikan CSH sebagai sistem yang berpaksikan kepada prestasi tinggi, kecekapan tenaga, keselamatan unggul dan kecerdasan pintar – empat prinsip utama dalam transformasi mobiliti moden Chery.

Chery Tiggo 7 CSH dan Tiggo 8 CSH diperkenalkan
Chery Malaysia hari ini turut memperkenalkan Tiggo 7 CSH dan Tiggo 8 CSH, masing-masing hadir dalam bentuk plug-in hybrid (PHEV).
Kedua-dua SUV ini dibangunkan berasaskan platform Super Hybrid (CSH) Chery sendiri, dan dipadankan dengan sistem transmisi hibrid pintar, Direct Hybrid Transmission (DHT).
Tiggo 7 CSH yang menerima kemas kini reka bentuk tampil dengan penampilan lebih berani, menampilkan lampu utama LED berbentuk trapezoid yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “double-L”.

Gril hadapannya direka dalam bentuk oktagon tertutup dengan corak berlian tersorok di bawah permukaan lutsinar. Di belakang pula, SUV ini mengekalkan pendekatan moden dengan palang lampu belakang penuh yang dihiasi elemen berbentuk “S” serta reflektor menegak.
Bagi Tiggo 8 CSH, rekaan luaran banyak dipengaruhi daripada varian petrol sedia ada, namun diberikan nafas baharu. Ia menampilkan pemegang pintu jenis rata bagi memperkemaskan profil sisi, manakala bahagian belakang mengekalkan identiti asal dengan sedikit suntikan sporty menerusi kemasan mirip diffuser.
Masuk ke ruang kabin, Tiggo 7 CSH hadir dengan paparan berkembar yang digabungkan dalam satu panel, merangkumi paparan pemandu dan sistem infotainmen.

Sebaliknya, Tiggo 8 CSH menggunakan pendekatan dua skrin berasingan dengan susun atur konsol tengah yang lebih mewah. Ia turut menampilkan tombol gear jenis putar, kawalan pendingin hawa sentuhan, serta panel konsol tengah yang direka semula untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
Beralih pada kuasa, Tiggo 7 CSH dikuasakan oleh enjin 1.5 liter TGDi empat silinder yang menjana 143PS dan 215Nm, digandingkan bersama motor elektrik 204PS dan 310Nm serta transmisi DHT satu kelajuan, memacu roda hadapan. Pecutan maksimum dicatatkan pada 180 km/j.
Sementara itu, Tiggo 8 CSH juga menggunakan enjin 1.5 liter turbo, namun dengan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 154PS dan 220Nm.

Ia digandingkan pula dengan dua motor elektrik berkuasa 201PS dan 310Nm melalui sistem DHT tiga kelajuan yang turut menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Kedua-duanya menjanjikan pemanduan lancar, responsif dan menjimatkan bahan api.
Untuk sumber tenaga elektrik, kedua-dua SUV ini dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 8.3kWh yang dibekalkan oleh BYD melalui teknologi Blade Battery.
Menurut Chery Malaysia, kombinasi enjin dan bateri ini membolehkan jarak pemanduan sehingga 1,200km berdasarkan ujian WLTP.
Dari segi pengecasan, bateri ini menyokong pengecas pantas DC yang mampu mengisi dari 30% hingga 90% dalam masa hanya 19 minit, manakala pengecas AC mengambil masa sekitar tiga jam untuk penuh.
Tambahan pula, bateri ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3kWh, membolehkan ia digunakan sebagai sumber kuasa luaran.
- BACA: AKIO TOYODA SAMPAIKAN ANUGERAH KEPADA PELUMBA OTAI SUPER GT DAN JGTC – FUH DAPAT PINGAT WEH
- BACA: BMW IX XDRIVE60 M SPORT PRO, BMW IX XDRIVE45 SPORT, SERTA BMW X5 XDRIVE40I M SPORT (CKD) RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM425K
- BACA: LULUS JPJ, MFORCE LANCAR MOTOSIKAL DENGAN SIDECAR PERTAMA – RM48,888
- BACA: RASMI: CRUISER PERTAMA DI MALAYSIA DENGAN SISTEM AMT DIPERKENAL – HANYA RM17,888