
BMW IX XDRIVE60 M SPORT PRO, BMW IX XDRIVE45 SPORT, SERTA BMW X5 XDRIVE40I M SPORT (CKD) RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM425K
BMW Group Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju automotif premium dengan memperkenalkan tiga model baharu yang sarat dengan inovasi dan kemewahan – BMW iX xDrive60 M Sport Pro, BMW iX xDrive45 Sport, serta BMW X5 xDrive40i M Sport (CKD).
Ketiga-tiga model baharu ini boleh didapati di pengedar rasmi BMW seluruh negara bermula 25 Julai 2025.
Untuk harga, perincian adalah seperti berikut:
- BMW iX xDrive60 M Sport Pro: RM487,800
- BMW iX xDrive45 Sport: RM425,800
- BMW X5 xDrive40i M Sport: RM469,800
- BMW X5 xDRIVE50e M Sport: RM486,800
BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW iX xDrive45 Sport Baharu

BMW iX kini tampil dalam dua varian terbaharu: xDrive60 M Sport Pro dan xDrive45 Sport. Ia mengekalkan rupa bentuk ikonik namun diberi sentuhan segar termasuk gril “kidney” dengan garisan pepenjuru dan pencahayaan BMW Iconic Glow.
Kedua-dua model dilengkapi dengan lampu utama LED adaptif yang lebih tajam dan cekap, serta pakej cermin sisi baharu untuk aerodinamik lebih efisien.
Khusus untuk varian xDrive60 M Sport Pro, ia menerima Pakej M Sport Pro sebagai standard, termasuk rim aerodinamik 22-inci, brek merah M Sport, serta kemasan Shadowline yang menyerlahkan gaya agresif dan sporty.
Ruang dalamannya mengutamakan keselesaan dan gaya mewah seperti bumbung kaca panorama Sky Lounge, pencahayaan ambien dan sistem audio Harman Kardon dengan 18 pembesar suara menghasilkan suasana eksklusif.

Selain itu, tempat duduk pelbagai fungsi, kawalan suhu empat zon, serta pengecas tanpa wayar turut ditawarkan sebagai ciri standard.
Dari segi prestasi, iX xDrive60 M Sport Pro menghasilkan 544hp dan 765Nm tork, memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.6 saat, dengan jarak pemanduan sehingga 701km (WLTP).
Baterinya berkapasiti besar 111.5kWh menyokong pengecasan pantas hingga 195kW.

Sementara itu, iX xDrive45 Sport hadir dengan 408hp dan 700Nm, jarak pemanduan 602km dan pengecasan sehingga 175kW.
Teknologi seperti BMW Digital Key Plus membolehkan akses mudah melalui telefon pintar, manakala ciri bantuan pemanduan seperti Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus disediakan secara standard.
Pilihan warna untuk model iX ini termasuk Mineral White, Black Sapphire, Arctic Race Blue, Aventurine Red, dan Dune Grey.
Bagi varian iX xDrive60, warna eksklusif M Carbon Black turut ditawarkan bersama rekaan dalaman berasaskan tema M Sport atau Interior Design Suite.
BMW X5 xDrive40i M Sport

BMW X5 dalam versi xDrive40i M Sport kini diberi nafas baharu dengan rekaan yang lebih segar dan prestasi lebih mengujakan.
Gril hadapan kini menampilkan BMW Iconic Glow dengan lampu utama LED adaptif yang lebih tirus dan lampu siang berbentuk ‘X’. Reka bentuk apron baharu dan salur udara berprofil tajam mengukuhkan gaya SAV ini.
Rim aloi M 21-inci, brek M Sport dan lampu belakang tiga dimensi menyerlahkan kehadiran X5 dari segenap sudut. Di dalam, suasana kabin tampil lebih premium dengan panel instrumen digital melengkung, paparan 12.3-inci untuk meter dan 14.9-inci untuk kawalan utama.

Upholsteri Sensafin hitam hadir sebagai standard, lengkap dengan kerusi sukan elektrik, stereng kulit M dan bumbung antrasit. Konsol tengah pula menerima rekaan baharu dengan suis hayun untuk penukaran gear dan bar pencahayaan LED yang menambah nilai estetika.
Dari segi mekanikal, enjin 3.0 liter 6 silinder sebaris dengan sistem hibrid ringan 48V memberikan 381hp dan 540Nm tork, meningkat berbanding versi terdahulu.
Hasilnya, X5 mampu memecut ke 100 km/j dalam 5.4 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

Sistem suspensi dua gandar dengan kawalan udara membolehkan pelarasan ketinggian secara automatik, menjadikan pemanduan lebih selesa dan responsif. Ia juga boleh direndahkan untuk memudahkan pemuatan barangan di ruang belakang.
Ciri keselamatan dan bantuan pemanduan pula disertakan secara komprehensif, termasuk Lane Keeping Assistant, Emergency Stop Assistant, Speed Limit Assistant, Cross Traffic Warning dan Parking Assistant Professional dengan sokongan memori laluan parkir sehingga 198 meter.
BMW X5 xDrive40i M Sport hadir dalam warna pilihan seperti Skyscraper Grey, Brooklyn Grey, Mineral White dan Black Sapphire, manakala dalaman pula dengan kemasan Sensafin hitam dan sulaman hiasan berkualiti tinggi.
BMW Relax. We Care. – Komitmen Menyeluruh Buat Pemilik
Di sebalik ketiga-tiga model baharu ini, BMW Malaysia memperkukuh tawaran pemilikannya menerusi program Relax. We Care.
Inisiatif menyeluruh yang meliputi servis proaktif, bantuan kecemasan 24/7, jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta perlindungan tambahan untuk kenderaan elektrik.
Perkhidmatan Proactive Care BMW, misalnya, menggunakan teknologi sensor masa nyata untuk mengenal pasti potensi isu sebelum ia berlaku, membolehkan pelanggan bertindak awal melalui aplikasi My BMW.
Dengan ConnectedDrive dan sistem operasi terkini, setiap kenderaan BMW dilengkapi keupayaan kemas kini perisian tanpa wayar dan akses digital penuh, memperkukuh lagi pengalaman Sheer Driving Pleasure yang dijanjikan oleh jenama ini.
GALERI:
BMW X5 xDrive40i M Sport
























BMW iX xDrive45 Sport



















BMW iX xDrive60 M Sport Pro
























