
CHERY TIGGO 7 PHEV CSH DAN TIGGO 8 PHEV CSH RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM129,800
Dua model SUV plug-in hibrid (PHEV), Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV, rasmi dilancarkan hari ini, sekaligus menambah pilihan untuk pasaran tempatan.
Kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan teknologi Chery Super Hybrid (CSH), menawarkan gabungan kecekapan, prestasi serta ciri keselamatan yang lebih menyeluruh.
Perincian harga adalah seperti berikut:
- Tiggo 7 PHEV CSH: RM129,800
- Tiggo 8 PHEV CSH: RM159,800

CHERY TIGGO 7 PHEV CSH
Tiggo 7 CSH yang menerima kemas kini reka bentuk tampil dengan penampilan lebih berani, menampilkan lampu utama LED berbentuk trapezoid yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “double-L”.
Gril hadapannya direka dalam bentuk oktagon tertutup dengan corak berlian tersorok di bawah permukaan lutsinar. Di belakang pula, SUV ini mengekalkan pendekatan moden dengan palang lampu belakang penuh yang dihiasi elemen berbentuk “S” serta reflektor menegak.
Masuk ke ruang kabin, Tiggo 7 CSH hadir dengan paparan berkembar yang digabungkan dalam satu panel, merangkumi paparan pemandu dan sistem infotainmen.

Beralih pada kuasa, Tiggo 7 CSH dikuasakan oleh enjin 1.5 liter TGDi empat silinder yang menjana 143PS dan 215Nm, digandingkan bersama motor elektrik 204PS dan 310Nm serta transmisi DHT satu kelajuan, memacu roda hadapan. Pecutan maksimum dicatatkan pada 180 km/j.
CHERY TIGGO 8 PHEV CSH
Bagi Tiggo 8 CSH, rekaan luaran banyak dipengaruhi daripada varian petrol sedia ada, namun diberikan nafas baharu.
Ia menampilkan pemegang pintu jenis rata bagi memperkemaskan profil sisi, manakala bahagian belakang mengekalkan identiti asal dengan sedikit suntikan sporty menerusi kemasan mirip diffuser.
Di bahagian dalam kabin, Tiggo 8 CSH menggunakan pendekatan dua skrin berasingan dengan susun atur konsol tengah yang lebih mewah.

Ia turut menampilkan tombol gear jenis putar, kawalan pendingin hawa sentuhan, serta panel konsol tengah yang direka semula untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
Untuk kuasa, Tiggo 8 CSH juga menggunakan enjin 1.5 liter turbo, namun dengan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 154PS dan 220Nm.
Ia digandingkan pula dengan dua motor elektrik berkuasa 201PS dan 310Nm melalui sistem DHT tiga kelajuan yang turut menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Kedua-duanya menjanjikan pemanduan lancar, responsif dan menjimatkan bahan api.
Untuk sumber tenaga elektrik, kedua-dua SUV ini dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 8.3kWh yang dibekalkan oleh BYD melalui teknologi Blade Battery.

Menurut Chery Malaysia, kombinasi enjin dan bateri ini membolehkan jarak pemanduan sehingga 1,200km berdasarkan ujian WLTP.
Dari segi pengecasan, bateri ini menyokong pengecas pantas DC yang mampu mengisi dari 30% hingga 90% dalam masa hanya 19 minit, manakala pengecas AC mengambil masa sekitar tiga jam untuk penuh.
Tambahan pula, bateri ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3kWh, membolehkan ia digunakan sebagai sumber kuasa luaran.
GALERI:
CHERY TIGGO 7 PHEV CSH:









TIGGO 8 PHEV CSH:









- BACA: PRESIDEN UMW TOYOTA MOTOR KAGUM INISIATIF PELAJAR SMK PENDAMARAN JAYA DALAM PROGRAM TOYOTA ECO YOUTH 2025
- BACA: GAC EMKOO RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM123K
- BACA: MERCEDES-BENZ VISION V CONCEPT – DEFINASI MPV MEWAH SEBENAR
- BACA: VIRAL KERETA SINGAPURA ISI RON95, KPDN JALANKAN SIASATAN