
TEMPAHAN CHERY TIGGO 7 PHEV DAN TIGGO 8 PHEV KINI DIBUKA
Chery Malaysia bakal melancarkan dua model hibrid plug-in generasi baharu untuk pasaran tempatan, iaitu TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV.
Kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan teknologi Chery Super Hybrid (CSH), menawarkan gabungan kecekapan, prestasi serta ciri keselamatan yang lebih menyeluruh.
Tiggo 7 CSH yang menerima kemas kini reka bentuk tampil dengan penampilan lebih berani, menampilkan lampu utama LED berbentuk trapezoid yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “double-L”.
Gril hadapannya direka dalam bentuk oktagon tertutup dengan corak berlian tersorok di bawah permukaan lutsinar. Di belakang pula, SUV ini mengekalkan pendekatan moden dengan palang lampu belakang penuh yang dihiasi elemen berbentuk “S” serta reflektor menegak.

Bagi Tiggo 8 CSH, rekaan luaran banyak dipengaruhi daripada varian petrol sedia ada, namun diberikan nafas baharu. Ia menampilkan pemegang pintu jenis rata bagi memperkemaskan profil sisi, manakala bahagian belakang mengekalkan identiti asal dengan sedikit suntikan sporty menerusi kemasan mirip diffuser.
Masuk ke ruang kabin, Tiggo 7 CSH hadir dengan paparan berkembar yang digabungkan dalam satu panel, merangkumi paparan pemandu dan sistem infotainmen.
Sebaliknya, Tiggo 8 CSH menggunakan pendekatan dua skrin berasingan dengan susun atur konsol tengah yang lebih mewah.
Ia turut menampilkan tombol gear jenis putar, kawalan pendingin hawa sentuhan, serta panel konsol tengah yang direka semula untuk keselesaan pemandu dan penumpang.

Asas utama kedua-dua model ini ialah platform CSH yang menggabungkan tiga komponen teras:
- Enjin Hibrid ACTECO 1.5TGDi Generasi Ke-5 – kadar kecekapan terma sehingga 44.5 peratus untuk prestasi dan penjimatan bahan api yang lebih baik.
- Dedicated Hybrid Transmission (DHT) – sistem transmisi pintar yang memastikan penghantaran kuasa lancar serta responsif. Ia membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya dengan dua motor elektrik terbina, selain menawarkan jarak perjalanan sehingga 1,200km dengan isian minyak dan pengecasan penuh.
- Bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 18.3kWh – menjamin keselamatan, kapasiti tinggi, kebolehpercayaan dan jarak pemanduan elektrik sehingga 90km.
Untuk memberi ketenangan fikiran, Chery turut melengkapkan kedua-dua model dengan sistem Guardian Battery Safety, termasuk:
- Pemotongan segera kuasa voltan tinggi ketika insiden.
- Pek bateri dengan pensijilan IP68 – kalis debu, kalis air, tahan suhu sehingga 95°C serta mampu dicas pantas daripada 30 ke 80 peratus dalam hanya 19 minit.
- Keupayaan meredah air sedalam 500mm, sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.
- Julat operasi suhu luas dari -35°C hingga 60°C.
Orang ramai dijemput mengunjungi pusat pameran Chery seluruh negara untuk mencuba sendiri TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV.
Tempahan juga boleh dibuat di semua bilik pameran sah Chery Malaysia atau secara dalam talian di www.chery.my


