
DACIA SANDRIDERS BERSEDIA UNTUK MENAKLUK DAKAR RALLY
Sebelum ini pengeluar kenderaan dari Romania Dacia pernah mengejutkan dunia permotoran sukan lasak apabila memperkenalkan model konsep Dacia Sandriders, sebuah model yang dianggap sebagai pencabar baharu untuk perlumbaan Dakar Rally.
Tetapi kini Dacia benar – benar serius akan model tersebut apabila telah mengumumkan bahawa mereka sahih akan menyertai perlumaan Dakar Rally dan World-Rally Raid Championship (W2RC) untuk tahun 2025 ini.
Dan bagi membuktikan bahawa mereka benar – benar serius Dacia telah berjaya memenangi 1-2 untuk perlumbaan Rallye du Maroc yang lebih dilihat sebagai kejohanan pemanas badan sebelum beraksi di Dakar Rally.

Selepas beberapa bulan menjalani ujian, model andalan Dacia Sandriders akan menyahut cabaran hebat seterusnya di Dakar Rally sebuah perlumbaan pengembaraan yang paling mencabar. Perlumbaan pembukaan untuk FIA World Rally-Raid Championship 2025 ini bermula pada 3 – 17 Januari merupakan ujian yang paling ekstrem untuk pemandu dan juga jentera yang beraksi.
Mengambil tempat di atas bukit pasir dan laluan berbatu dari barat ke timur Arab Saudi, matlamatnya bukan sahaja kelajuan tetapi juga navigasi dan ketahanan. Kesemua peserta mesti mencari jalan mereka menggunakan GPS sambil menangani halangan yang sukar dan kondisi yang ekstrem.
Perlumbaan Dakar Rally ini disifatkan sebagai ujian sebenar pengembaraan, kemahiran dan daya tahan dalam beberapa persekitaran yang paling keras di dunia.
Selepas peringkat Prolog yang bermula pada 3 Januari, Dakar Rally 2025 akan meliputi jarak 5,145 kilometer merentasi 12 hari perlumbaan yang sengit.

Pengarah Teknikal Philip Dunabin menjelaskan bahawa jentera Dacia Sandriders telah diberikan beberapa penambahbaikkan selepas kemenangan 1-2 di Rallye du Maroc sekali gus memberikan potensi yang besar pada jentera ini termasuklah mendapatkan kerjasama dengan Alpine Racing untuk membantu dari segi masalah dengan elektronik bagi mengawal kipas untuk enjin.
Prinsipal pasukan Tiphanie Isnard pula menjelaskan pasukannya tidak berupaya untuk membayangkan cabaran ekstrem yang harus ditempuh kelak oleh tiga buah jentera Dacia Sandriders ini namun menegaskan mereka telah bersedia untuk menempuhnya.
Kelak jentera Dacia Sandriders ini akan dipandu oleh Nasser Al-Attiyah (Qatar), Cristina Gutierrez (Sepanyol) dan juga lagenda rali dunia Sebastian Loeb (Perancis).
BACA : DACIA SANDRIDER – MUNGKINKAH INI PENCABAR BAHARU UNTUK RALI DAKAR