
DACIA SANDRIDER - MUNGKINKAH INI PENCABAR BAHARU UNTUK RALI DAKAR
Pengeluar kenderaan dari Romania, Dacia telah memperkenalkan model konsep mereka yang baharu, Dacia Sandrider sebagai pencabar untuk perlumbaan ekstrem Dakar Rally dan juga World-Rally Raid Championship (W2RC) bermula tahun 2025 nanti.
Direka khusus menempuh apa juga bentuk muka bumi yang paling mencabar dan juga ekstrem di dunia, Dacia mempertaruhkan Sandrider, prototaip yang direka untuk menang kelak.

Diinspirasikan oleh kereta konsep Manifesto, sebuah untuk idea baharu yang telah diperkenalkan pada tahun 2022, Sandrider ialah kenderaan serba baharu yang direka khusus untuk perlumbaan rali yang ekstrem ini. Ianya dihasilkan dengan menggunakan kepakaran permotoran Renault Group dan juga Prodrive, sebuah syarikat UK yang cukup pakar dalam sukan permotoran sebelum ini.
Ianya telah direka terus oleh pereka dalaman Dacia sendiri yang menampilkan bahagian luaran Sandrider secara cukup minimalis. Tiada rekaan luaran yang melampau dan ekstrem. Paling penting, ianya memberikan penekanan terhadap aerodinamik model ini.

Bahagian bonet telah direka pendek dan terapung untuk memberikan visual yang lebih jelas kepada penumpang di dalam kabin. Cat anti-reflektif juga telah diaplikasikan pada papan pemuka juga untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas akibat daripada pantulan cahaya terik mentari.
Kereta konsep Dacia Sandrider ini dibina dengan menggunakan casis tubular ringan serta badan yang direka dengan menggunakan gentian karbon untuk memastikan kereta ini kekal ringan tetapi dalam masa yang sama cukup tegar.
Bahagian kabin juga telah direka oleh Jurutera Dacia untuk memberikan penekanan yang lebih terperinci tentang keperluan, tabiat dan juga kekangan membabitkan Pemandu dan juga Juruarah. Yang penting, ianya cukup ergonomik kepada keduanya.
Beberapa perkakasan telah direka untuk lebih memudahkan Pemandu dan juga Juruarah seperti tempat duduk Sabelt telah dilapisi dengan fabrik anti-bakteria khas yang berupaya mengawal kelembapan sendiri. Manakala tayar simpanan juga boleh dibuka dengan lebih mudah. Begitu juga, krew boleh mengakses alatan di dalam kabin dengan cepat, tanpa perlu membuka sebarang kotak.
Trenkuasa daripada enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar telah dipilih sebagai nadi utama yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 360 PS dan 539 Nm yang turut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan berjujuk pada setiap pacuan semua roda.

Walau pun menggunakan enjin pembakaran dalam biasa, tetapi enjin V6 ini akan menggunakan bahan api sintetik yang akan disediakan oleh Aramco. Bahan api rendah karbon ini menggabungkan hidrogen boleh diperbaharui dengan CO2 yang diasingkan serta boleh digunakan pada enjin V6 ini tanpa masalah.
Sebagai sebuah kereta yang digunakan secara ekstrem, rim bersaiz 17 inci serta tayar tebal dari BF Goodrich 37 inci sememangnya cukup ideal untuk digunapakai nanti.
Untuk perlumbaan Dakar nanti, Dacia Sandrider ini nanti bakal dipandu oleh Juara Lima Kali Rali Dakar, Nasser Al-Attiyah dan juga Cristina Gutierrez Herrero. Dacia Sandrider ini bakal membuat kemunculan pertama bagi menghadapi saingan W2RC pada Oktober nanti di Rallye du Maroc sebelum kemunculan di Rali Dakar 2025 dan juga saingan W2RC pada tahun 2025 nanti.
BACA : TOYOTA HILUX MENANG RALI DAKAR 2022, KATEGORI KERETA
BACA : JENTERA RALI TERULUNG – UNTUK DAKAR 2021 REKAAN PRODRIVE