
DARI PEMBERSIH VAKUM KE SUV MEWAH – DREAME SEDIA CABAR ROLLS-ROYCE CULLINAN
Selepas mengejutkan industri automotif dengan kereta sport yang kelihatan seakan Bugatti, Dreame Technology kini memperlihatkan model kedua mereka, sebuah SUV bersaiz penuh, menampilkan rekaan hampir sama dengan Rolls-Royce Cullinan.
SUV elektrik mewah ini dijangka memasuki pasaran pada tahun 2027 dengan jarak roda 3.2 meter, pintu gaya coach door serta teknologi pacuan elektrik terkini.
Menariknya, tiada tiang-B dipasang pada model ini, sekali gus memberikan ruang kabin lebih luas dan moden.
Dreame, syarikat China yang sebelum ini terkenal sebagai pengeluar peralatan rumah seperti pembersih vakum, pengering rambut dan mop robotik, diasaskan oleh Yu Hao dan mula menyertai Rantaian Ekologi Xiaomi pada 2017.

Pada 28 Ogos lalu, syarikat itu mengumumkan penyertaan rasmi dalam pasaran automotif premium melalui dua jenama berasingan – Dreame Automotive untuk kereta sport berprestasi tinggi, dan Starry Automotive yang memberi fokus kepada SUV mewah ala Cullinan.
Imej rasmi SUV terbaharu itu dipaparkan pada 25 September, memperlihatkan gril krom besar berbentuk segi empat, lampu utama LED, rim bersaiz besar serta pemegang pintu rata.
Bahagian dalamannya pula dilaporkan berukuran 3.7 meter panjang dengan dua kerusi kapten di barisan kedua yang menawarkan ruang kaki sehingga 1.2 meter serta boleh direbahkan sehingga 145 darjah.
Dari segi teknologi, SUV ini akan menggunakan bateri 100kWh berasaskan sistem CTP 4.0 dengan pilihan range extender.

Ia turut dilengkapi empat motor elektrik berasingan, stereng gandar belakang 24 darjah dengan jejari pusingan kurang lima meter, serta sistem casis aktif yang menyesuaikan ketinggian dan kekerasan suspensi berpandukan data daripada LiDAR, kamera dan radar gelombang milimeter.
Dreame sebelum ini turut mengumumkan rancangan membina kilang pemasangan baharu di Berlin bersama gergasi perbankan Perancis, BNP Paribas. Lokasi kilang itu akan bersebelahan dengan Tesla Gigafactory Berlin.
Walaupun reka bentuk dua model pertama Dreame sering dibandingkan dengan jenama mewah sedia ada, syarikat ini jelas serius untuk menempatkan diri sebagai pencabar utama dalam pasaran kenderaan tenaga baharu, khususnya menyaingi Li Auto yang kini menjadi pembuat kereta elektrik China pertama meraih keuntungan.