Buletin

FERRARI 296 SPECIALE DAN SPECIALE A TIBA DI MALAYSIA – BERMULA RM4.288 JUTA

Ferrari melalui pengedar rasmi Ital Auto Malaysia telah memperkenalkan dua model prestasi terbaharu mereka 296 Speciale dan 296 Speciale A (Aperta).

Model ini merupakan evolusi ekstrem daripada 296 GTB, direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan menerusi kuasa tambahan, cengkaman aerodinamik 20 peratus lebih tinggi, berat yang lebih ringan serta talaan suspensi baharu.

Ketika pelancaran, Ferrari menampilkan 296 Speciale dalam warna Verde Nürburgring yang baharu dibangunkan, lengkap dengan jalur lumba berkembar dan pilihan nombor perlumbaan antara 00 hingga 99 untuk pelanggan yang mahu sentuhan peribadi.

Secara visual, 296 Speciale mengekalkan siluet asas 296 GTB dengan dimensi 4,625mm panjang, 1,968mm lebar dan 1,181mm tinggi, serta jarak roda 2,600mm.

Namun, perubahan utama terletak pada aspek aerodinamik dan pengurangan berat, kini 60kg lebih ringan berbanding GTB.

Bahagian kabin pula mempamerkan suasana minimalis – bukan kerana kekurangan, tetapi sebagai langkah penjimatan berat. Gabungan gentian karbon, aluminium dan Alcantara menonjolkan DNA perlumbaan yang tulen.

Di belakang tempat duduk dua penumpang, tersimpan enjin 3.0-liter V6 twin-turbo 120 darjah (2,992cc) yang menghasilkan 700PS dan 755Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 154PS dan 315Nm tork, disokong oleh bateri 7.42kWh.

Apabila sistem hibrid ini beroperasi serentak dalam mod Boost, jumlah kuasa melonjak kepada 880PS (648kW) – 50PS lebih tinggi berbanding 296 GTB biasa. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi dwi-klac F1 8-kelajuan.

Hasilnya, 0–100 km/j hanya dalam 2.8 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 330km/j. Dalam mod eDrive, kereta ini mampu bergerak sejauh 25km sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik, dengan kelajuan maksimum 135km/j.

Prestasi aerodinamiknya turut dinaik taraf dengan keupayaan menjana 435kg daya lesap (downforce) pada 250 km/j – peningkatan 20 peratus berbanding GTB. Ini dicapai menerusi damper aero di hud depan, sirip menegak pada bampar belakang, sayap sisi, serta spoiler aktif yang kini bertindak 50 peratus lebih pantas.

Suspensi turut dipertingkat dengan sistem magnetorheological (SCM), bersama SSC 9.0 (Side Slip Control), FDE 2.0 (Ferrari Dynamic Enhancer), ABS Evo, dan Electronic Brake Distribution. Hasilnya, kestabilan dan tindak balas ketika di selekoh ekstrem lebih yakin dan seimbang.

Brek seramik karbon bersaiz 398mm di hadapan dan 360mm di belakang memastikan jarak henti dari 200 km/j ke 0 hanyalah 106 meter, angka yang menunjukkan kehebatan kejuruteraan Ferrari.

296 Speciale ditawarkan pada harga bermula RM4,288,000 (termasuk cukai import, tidak termasuk pilihan tambahan, pendaftaran dan insurans).

Sementara itu, versi 296 Speciale A dengan bumbung boleh lipat hadir pada harga bermula RM4,888,000.

Seperti model Ferrari lain, 296 Speciale hadir dengan program penyelenggaraan 7 tahun tanpa had perbatuan, merangkumi servis rutin setiap 20,000km atau setahun sekali.

GALERI:

Google ads
Back to top button