Buletin

FERRARI FXX-K EVO – GABUNG TEKNOLOGI PERLUMBAAN F1, GT3 & CHALLENGE

Acara Finali Mondiali di Itali menjadi lokasi pengenalan dunia Ferarri FXX-K Evo yang merupakan model naik taraf jentera FXX-K sedia ada.

Ia dilihat sebagai satu evolusi sejak program XX dibangunkan oleh Ferrari pada tahun 2005. Kereta itu dibangunkan khas dan memainkan peranan penting dalam aspek penyelidikan serta inovasi jentera berprestasi tinggi Ferrari.

Justeru, Ferrari FXX-K Evo dilengkapi pakej yang diambil daripada semua kategori jentera di litar lumba seperti Formula 1, GT3, GTE dan Challenge. Seperti semua model XX sebelum ini, Ferrari FXX-K Evo tidak dihomologasi untuk kegunaan di atas jalan raya biasa dan tidak akan digunakan dalam mana-mana perlumbaan.

Pasukan reka bentuk memulakan pembangunan FXX-K Evo dengan mengurangkan berat keseluruhannya. Sudah pasti komponen gentian karbon digunakan secara ekstensif. Malah, elemen baru seperti wing belakang dan spoiler belakang adaptif turut dipasang.

Hasilnya, kereta ini memiliki tahap downforce 23 peratus lebih baik berbanding FXX-K. Downforce seberat 640kg dapat dijana pada kelajuan 200km/j. Bampar hadapan dan belakang telah direka semula untuk menawarkan aliran udara yang lebih baik.

Sistem suspensi juga telah ditala semula untuk menawarkan pemanduan paling dinamik. Stereng baharunya kelihatan seperti yang digunakan pada jentera F1. Sementara monitor digital memaparkan maklumat seperti sistem bantuan hibrid, telemetri dan kamera undur.

Autodesk VRED Design 2016

Sudah pasti, FXX-K Evo hanya akan dijual kepada pelanggan terpilih Ferrari atau sebagai model naik taraf kepada pemilik FXX-K.

Google ads
Back to top button