Buletin

PERODUA LANCAR KERUSI KESELAMATAN KANAK-KANAK – HARGA BERMULA RM660 SEUNIT

Perodua hari ini memperkenalkan kerusi keselamatan kanak-kanak buat pertama kalinya ke pasaran tempatan. Pelancaran itu dibuat sempena kempen keselamatan Perodua yang bakal dijalankan selama lima tahun di seluruh negara.

Kerusi berkenaan ditawarkan pada harga pengenalan RM660 (bayi) dan RM780 (kanak-kanak) sehingga Tahun Baru Cina 2018. Selepas tempoh itu, ia akan dijual pada harga RM790 dan RM980 seunit.

Kerusi bayi itu boleh menampung berat sehingga 13kg serta didatangkan dalam dua warna iaitu merah dan kelabu. Kerusi keselamatan bagi kanak-kanak pula hadir dalam warna merah dan hitam. Ia mampu menampung berat sembilan hingga 36kg.

“Kami yakin kerusi keselamatan ini ditawarkan pada harga yang kompetitif. Bagi memberi ketenangan minda kepada pengguna, penasihat jualan Perodua akan memberi penerangan dan demonstrasi pemasangannya dengan betul,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rasyid Salleh.

Kempen keselamatan Perodua bermatlamat untuk menambah baik tingkah laku pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan asas jalan raya.

Ia memberi penekanan terhadap aspek pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon mudah alih ketika memandu, menggunakan isyarat membelok dan tempat duduk keselamatan kanak-kanak.

Bagi memastikan kempen ini lebih berkesan, material kempen akan diletakkan di semua cawangan Perodua. Mesej keselamatan ini disasarkan untuk menjangkau lebih sejuta pelanggan dalam tempoh setahun.

Google ads
Back to top button