
GEELY EX2 DILANCAR DI INDONESIA – JARAK GERAK 395KM, HARGA BERMULA RM69,700
Geely Auto Indonesia secara rasmi melancarkan model kenderaan elektrik terbaharunya, Geely EX2, sebuah SUV kompak lima tempat duduk.
Pelancaran tersebut mencerminkan kesungguhan jenama automotif dari China itu untuk mengukuhkan kedudukan jangka panjangnya di pasaran Indonesia serta rantau Asia Tenggara.
Untuk pasaran Indonesia, Geely EX2 ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro dan Max, kedua-duanya menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 40.8kWh.

Gabungan ini membolehkan kenderaan tersebut mencapai jarak pemanduan sehingga 395 kilometer bagi satu cas penuh mengikut piawaian NEDC, dengan kadar penggunaan tenaga sekitar 11.8kWh bagi setiap 100 kilometer.
Dari segi prestasi, motor elektriknya menghasilkan kuasa maksimum 85kW dan tork 150Nm, dengan kelajuan tertinggi mencecah 130km/j.
Dimensi kenderaan ini merangkumi panjang 4,135mm, lebar 1,805mm, tinggi 1,580mm dan jarak roda 2,650mm, menjadikannya sesuai untuk kegunaan bandar tanpa mengorbankan ruang kabin.

Geely turut mengesahkan bahawa EX2 kini dipasang secara tempatan di kilang PT Handal Indonesia Motor (HIM) di Purwakarta, Jawa Barat. Hasil usaha penyetempatan ini, tahap kandungan tempatan (TKDN) telah mencapai 46.5 peratus.
Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran, malah menyokong pembangunan industri automotif tempatan.
Sejak tempahan awal dibuka pada November 2025, model ini telah menerima lebih 1,000 tempahan, menandakan sambutan awal yang memberangsangkan.

Dari sudut harga, Geely menawarkan promosi pengenalan khas sehingga 15 Februari 2026 atau untuk 2,000 pembeli terawal.
Harga promosi:
- Geely EX2 Pro: Rp229.9 juta (sekitar RM69,700)
- Geely EX2 Max: Rp259.9 juta (sekitar RM78,800)
Selepas tempoh promosi tamat, harga normal akan ditetapkan seperti berikut (OTR Jakarta):
- Geely EX2 Pro: Rp255 juta (sekitar RM77,300)
- Geely EX2 Max: Rp285 juta (sekitar RM86,400)








