
KERETA NASIONAL INDONESIA BAKAL JADI NYATA – HARGA BAWAH RM73K, BUKAN ESEMKA
Kerajaan Indonesia kini menumpukan usaha untuk membangunkan kereta buatan tempatan yang dijangka boleh dijual pada harga mampu milik, sekitar Rp 300 juta (sekitar RM73,900).
Langkah ini sejajar dengan permintaan pasaran, di mana model paling popular di negara itu berada pada julat harga yang sama.
Sebagai contoh, kereta segmen Low Cost Green Car (LCGC) biasanya dijual di bawah Rp 200 juta (sekitar RM49,300), manakala model Low MPV seperti Avanza pula tidak melebihi Rp 300 juta ( (sekitar RM73,900).
Malah, beberapa kenderaan elektrik (EV) tempatan turut berada dalam julat harga ini, seperti BYD Atto 1 dengan harga tertinggi Rp 235 juta (sekitar RM57,900) dan SUV elektrik Jaecoo yang mencecah Rp 299,9 juta (sekitar RM73,900).
Menurut Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto, keterjangkauan harga adalah faktor utama dalam pembangunan kereta nasional.
“Pasaran terbesar kini adalah kereta di bawah Rp 300 juta. Oleh itu, kerajaan mendorong pengembangan kereta nasional yang mampu dimiliki,” ujarnya.
Beliau menambah, Presiden Prabowo Subianto juga telah menyediakan peruntukan khas untuk menyokong projek kereta nasional ini.
Sementara itu, Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita menyatakan industri tempatan sudah bersedia untuk merealisasikan projek tersebut.
Agus mengesahkan, terdapat beberapa calon jenama kereta nasional yang sedang dipersiapkan. “Jenamanya sudah ada, dan syarikatnya juga sudah saya temui. Namun, belum boleh diumumkan kepada umum,” katanya.
Berdasarkan maklumat terkini, kereta nasional yang sedang dibangunkan dipercayai merujuk kepada i2C – pernah dipamerkan dalam bentuk model clay skala 1:1 semasa GIIAS 2025.
Projek ini dijangka menjadi inisiatif utama untuk memperkukuh industri automotif Indonesia.
- BACA: CHERY SUPER HYBRID PHEV – KUASA ELEKTRIK PENGGERAK UTAMA, ENJIN JADI SOKONGAN
- BACA: BYD RAI ULANG TAHUN KETIGA DI MALAYSIA, JUAL LEBIH 25,000 UNIT EV
- BACA: CHERY MALAYSIA TAWAR REBAT SEHINGGA RM15,000, WARANTI BATERI 10 TAHUN/200,000KM
- BACA: MERCEDES GLC 200 4MATIC 2025 DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM329K







