Buletin

GWM TANK 500 HEV 2026 HADIR DENGAN APLIKASI PINTAR BAHARU

GWM Malaysia memperkenalkan GWM TANK 500 HEV 2026 yang kini hadir dengan ciri ketersambungan telefon pintar, membolehkan pemilik mengakses, memantau dan mengawal pelbagai fungsi kenderaan secara jarak jauh dengan lebih mudah.

Penambahbaikan terbaharu ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu kawalan kenderaan dari jauh, pemantauan status kenderaan secara masa nyata serta fungsi lokasi dan keselamatan yang lebih komprehensif.

Melalui aplikasi pintar GWM, pemilik boleh menghidupkan atau mematikan enjin, mengawal sistem penyaman udara serta menetapkan jadual operasi automatik mengikut keperluan harian.

Selain itu, fungsi penulen udara dan pengudaraan tempat duduk juga boleh diaktifkan lebih awal bagi memastikan kabin berada dalam keadaan selesa sebelum perjalanan bermula.

Aplikasi tersebut turut membolehkan pengguna mengunci atau membuka kunci pintu, menyemak status tingkap dan bumbung, malah menutupnya dari jauh sekiranya diperlukan. Ciri ini memberi keyakinan tambahan kepada pemilik untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat walaupun mereka tidak berada berdekatan.

Dari sudut pemantauan, pengguna boleh mendapatkan pelbagai maklumat penting berkaitan kenderaan termasuk baki bahan api, jarak pemanduan yang masih tersedia, bacaan odometer serta status enjin. Tekanan dan suhu tayar juga boleh dipantau secara langsung, dengan sistem akan menghantar notifikasi sekiranya berlaku keadaan luar biasa.

Selain itu, pemilik akan menerima amaran apabila paras bahan api atau bateri 12 volt berada pada tahap rendah, sekali gus membantu mengelakkan sebarang masalah sebelum memulakan perjalanan.

Status pintu, tingkap dan bumbung turut dipaparkan dalam aplikasi, manakala notifikasi akan dihantar sekiranya terdapat bahagian yang tidak ditutup dengan sempurna.

Pengguna juga boleh menyemak keadaan sistem penyaman udara, penulen udara dan fungsi pengudaraan tempat duduk secara terus melalui telefon pintar.

Bagi memudahkan pencarian kenderaan di kawasan parkir yang luas atau sesak, aplikasi ini menawarkan fungsi pengesanan lokasi serta keupayaan mengaktifkan hon dan lampu kecemasan dari jarak jauh.

Turut diperkenalkan ialah fungsi geofencing yang membolehkan pemilik menetapkan kawasan operasi tertentu. Sistem akan menghantar makluman apabila kenderaan keluar daripada kawasan yang telah ditetapkan, sekali gus menambah lapisan keselamatan dan pemantauan.

Kemudahan lain termasuk perkongsian akses kenderaan kepada pengguna lain serta kawalan tetapan GPS yang memberi fleksibiliti lebih tinggi dalam pengurusan perkhidmatan lokasi.

Walaupun menerima kemas kini digital yang signifikan, TANK 500 HEV 2026 masih mengekalkan identitinya sebagai SUV premium yang menggabungkan keselesaan, teknologi moden dan keupayaan pemanduan lasak.

Model ini dikuasakan oleh rangkaian kuasa hibrid turbo 2.0 liter yang menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan keyakinan ketika memandu sama ada di jalan bandar mahupun laluan mencabar.

Dari segi perlindungan pemilikan, GWM terus menawarkan pakej jaminan yang komprehensif termasuk waranti seumur hidup bagi enjin, transmisi dan sistem hibrid untuk pemilik persendirian pertama, waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 200,000 kilometer, waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Bersempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, GWM Malaysia turut mengadakan kempen promosi dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Pelanggan yang membuat tempahan dan melengkapkan pendaftaran kenderaan dalam tempoh tersebut berpeluang memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM30,000 bagi model-model GWM terpilih sepanjang bulan Ogos, di samping menerima pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun bagi setiap pembelian kenderaan baharu.

Google ads
Back to top button