Buletin

MITSUBISHI TRITON SINGLE CAB AT BAHARU DILANCARKAN – HARGA MULA RM107K

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan Triton Single Cab Automatik (AT) baharu, sebuah pikap kerja yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan usahawan, kontraktor, petani serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan kenderaan lasak dan praktikal untuk operasi harian.

Model ini menggabungkan ketahanan yang sinonim dengan Triton bersama kemudahan transmisi automatik, sekali gus membantu mengurangkan keletihan pemandu ketika berdepan perjalanan jauh, penghantaran barangan yang kerap serta keadaan trafik yang sesak.

Ditawarkan dalam warna Solid White, Triton Single Cab AT baharu dijual pada harga RM107,980 (atas jalan tanpa insurans) bagi pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia.

Ia turut disertakan jaminan selama lima tahun atau 200,000 km, yang mana tiba dahulu.

Sebagai promosi pengenalan, pelanggan yang membeli dan mendaftarkan model ini akan menerima sokongan diesel bernilai RM4,000 bagi membantu mengurangkan kos operasi perniagaan.

Spesifikasi dan Ciri Utama Mitsubishi Triton Single Cab AT Baharu

  • Enjin 2.4 liter turbo diesel
  • Kuasa maksimum 184PS
  • Tork maksimum 430Nm
  • Transmisi automatik
  • Kapasiti muatan sehingga 1,145kg
  • Dimensi ruang kargo:
    • Panjang: 2,340mm
    • Lebar: 1,580mm
    • Tinggi: 515mm
  • Tayar All-Terrain (AT) bersaiz lebar
  • Rear Differential Lock untuk cengkaman lebih baik di permukaan mencabar
  • Sensor undur sebagai kelengkapan standard
  • Bedliner dipasang standard untuk melindungi ruang kargo
  • Warna luaran: Solid White
  • Jaminan: 5 tahun / 200,000km

Menurut MMM, pembangunan model ini dibuat berdasarkan maklum balas pengguna kenderaan komersial yang semakin mengutamakan kemudahan pemanduan, kecekapan operasi dan keselesaan penggunaan harian.

Dengan kapasiti muatan yang tinggi, ruang kargo luas serta enjin berkuasa, Triton Single Cab AT baharu sesuai digunakan untuk pelbagai tugas termasuk pengangkutan hasil pertanian, bahan binaan, peralatan kerja dan penghantaran barangan.

Model baharu ini turut dipamerkan kepada orang ramai sempena pameran MAHA 2026.

GALERI:

Google ads
Back to top button