Buletin

GWM WEY G9 RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 1,000KM, HARGA BERMULA RM269K

Setelah diperkenalkan September tahun lalu, Great Wall Motors Malaysia (GWM Malaysia) hari ini secara rasmi melancarkan sebuah MPV mewah iaitu Wey G9, ditawarkan pada harga bermula RM269,800.

Dari segi dimensi, dengan ukuran panjang 5,280mm, lebar 1,960mm, tinggi 1,900mm dan jarak roda 3,085mm, ia lebih besar sedikit daripada Toyota Alphard serta setara dengan pesaing dari China seperti Zeekr 009 dan Denza D9.

Bahagian luaran menampilkan gril besar dengan jalur menegak, lampu utama LED dan lampu belakang LED merentangi keseluruhan bahagian belakang. Akses pula dipermudah dengan pintu gelangsar kuasa di kedua-dua sisi serta pintu belakang elektrik. Model ini menggunakan rim 18-inci, dengan pilihan warna kelabu, hitam dan putih.

Walaupun kluster digital 12.3-inci dikekalkan, versi Malaysia hanya dilengkapi skrin infotainmen pusat bersaiz 15.6-inci, bukannya dua skrin seperti di China.

Konfigurasi tempat duduk adalah 2-2-3 dengan tujuh tempat duduk. Barisan kedua mendapat kerusi kapten dengan fungsi urut 10 titik, ventilasi, pelarasan kuasa serta mod “zero gravity” untuk posisi lebih selesa. Tempat duduk dibalut kulit Nappa hitam, dengan pilihan warna coklat juga ditawarkan.

Antara ciri tambahan termasuklah;

  • Meja lipat di belakang kerusi hadapan
  • Pencahayaan ambien, kemasan kayu
  • Peti sejuk 12.5 liter (boleh diakses dari hadapan dan belakang)
  • Skrin hiburan belakang yang dipadankan dengan kawalan pendingin hawa khusus.

Tempat duduk barisan ketiga pula diletakkan di atas rel kuasa dengan ruang dikatakan mampu menampung individu setinggi 1.8 meter.

Selain itu, terdapat port pengecasan USB-A/USB-C di kedua-dua sisi dan dua corong udara di bumbung.

Beralih pada kuasa, enjin petrol 1.5 liter empat silinder (150hp, 240Nm) digabungkan dengan dua motor elektrik – satu dalam transmisi hibrid empat kelajuan dan satu lagi di gandar belakang – menghasilkan kuasa keseluruhan 442hp dan 642Nm.

Hasilnya, MPV pacuan semua roda ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum 200km/j.

Dari segi jarak perjalanan, GWM mendakwa Wey G9 boleh mencapai sehingga 1,000km (NEDC) dengan tangki penuh, manakala jarak elektrik sepenuhnya sekitar 170km (NEDC).

Bateri 44.2kWh menyokong pengecasan AC 6.6kW serta pengecasan pantas DC – mampu mengisi semula dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 26 minit.

Bagi aspek keselamatan, model ini telah meraih penarafan 5 bintang NCAP, dengan penggunaan keluli kekuatan tinggi 2000 MPa pada tiang A dan B, serta struktur pelindung tambahan untuk barisan ketiga.

Turut dilengkapi ialah;

  • Beg udara tirai besar
  • Pelekat struktur di bahagian hadapan
  • Rangka tambahan pada casis untuk menyerap impak.

Bateri pula dilindungi dengan empat lapisan di sisi dan enam lapisan di bawah, serta kalis air dan gegaran, selepas melalui ujian ketahanan ketat bagi menjamin keselamatan maksimum.

GALERI:

Google ads
Back to top button