
HONDA MALAYSIA KEKAL PENERAJU SEGMEN BUKAN NASIONAL – JUAL 72,301 UNIT PADA 2025
Honda Malaysia menutup tirai tahun 2025 dengan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan jualan sebanyak 72,301 unit, bersamaan 8.8 peratus pegangan pasaran, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Prestasi konsisten ini didorong oleh gabungan portfolio produk yang seimbang, penerimaan positif terhadap teknologi hibrid serta tahap kepercayaan pelanggan terhadap jenama Honda.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan berterusan para pelanggan dan rakan strategik syarikat.
Menurut beliau, pencapaian tahun 2025 mengukuhkan lagi keyakinan Honda terhadap hala tuju produk syarikat, selain mempertegaskan komitmen untuk menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal dan relevan untuk pasaran tempatan.

Mengulas perkembangan teknologi hibrid, Yazaki berkata Honda kini memasuki tahun ke-21 sejak memperkenalkan teknologi tersebut secara global, dan pengukuhan rangkaian model hibrid merentasi segmen utama kekal sebagai fokus utama syarikat.
“Melalui integrasi teknologi hibrid termaju, kami mahu memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, cekap dan boleh diharap, sambil menyokong pertumbuhan jangka panjang serta masa depan yang lebih mampan,” tambahnya.
Dari segi sumbangan model, HR-V, City dan CR-V muncul sebagai tulang belakang jualan Honda Malaysia pada 2025, masing-masing menyumbang 25 peratus, 24 peratus dan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.
Varian e:HEV turut mencatatkan prestasi menggalakkan, dengan HR-V dan CR-V hibrid masing-masing merangkumi lebih 30 peratus daripada jumlah jualan kenderaan hibrid Honda, mencerminkan peningkatan minat pengguna terhadap teknologi elektrifikasi.


Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan Honda Malaysia pada Oktober lalu, syarikat turut melancarkan kempen penghargaan pelanggan bertemakan “Because of You”, yang menampilkan cabutan bertuah selama tiga bulan.
Dua pemenang terakhir bagi cabutan Disember 2025 turut diumumkan, dengan hadiah berupa sebuah Honda City 1.5L RS dan Honda HR-V 1.5L T V.
Salah seorang pemenang, Cheah Wei Kong dari Selangor, yang menyertai peraduan selepas membeli model elektrik e:N1, berkata beliau pada awalnya ragu-ragu untuk beralih kepada kenderaan elektrik.
“Namun selepas pandu uji, saya terkejut dengan tahap keselesaan dan kemudahan pemanduannya. Ia terasa semula jadi seperti memandu kereta petrol. Pengalaman ini bukan sahaja meyakinkan saya tentang EV Honda, malah membawa tuah apabila saya memenangi City RS,” katanya.
Seorang lagi pemenang, Muhammad Syabil bin Muzafar dari Perak, yang membeli Civic 1.5L V, berkata beliau tertarik dengan rekaan sporty dan prestasi model tersebut.
“Reputasi Honda yang kukuh dari segi kebolehpercayaan dan sokongan pelanggan memberi keyakinan kepada saya. Memenangi HR-V pula benar-benar satu kejutan yang tidak disangka,” ujarnya.
Secara keseluruhan, Honda Malaysia menamatkan tahun 2025 dengan asas perniagaan yang kukuh, didorong oleh permintaan stabil, kepercayaan pengguna dan kekuatan teknologi.
Dengan berpaksikan semangat Challenging Spirit, syarikat yakin bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dalam landskap automotif yang semakin kompetitif dan berorientasikan elektrifikasi.
- BACA: GWM WEY G9 RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 1,000KM, HARGA BERMULA RM269K
- BACA: TOYOTA VIOS HEV KINI DI MALAYSIA – TERMASUK VARIAN GR SPORT, HARGA BERMULA RM103K
- BACA: AMITEC BANGUNKAN KLAC AUTO UNTUK MODEL SUZUKI 150CC
- BACA: CHERY LANCAR TRAK PIKAP HIMLA EV – JARAK GERAK HINGGA 510KM, HARGA BERMULA RM85K






