Buletin

TOYOTA VIOS HEV KINI DI MALAYSIA – TERMASUK VARIAN GR SPORT, HARGA BERMULA RM103K

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melancarkan Toyota Vios HEV serba baharu ke pasaran tempatan, termasuk varian Vios HEV GR Sport.

Menariknya, pelancaran ini turut disertai dengan pengumuman pemasangan bateri hibrid secara tempatan di fasiliti pengeluaran Toyota di Bukit Raja, Selangor.

Langkah berkenaan juga merupakan satu pelaburan strategik yang dijangka mengukuhkan rantaian bekalan, kepakaran teknikal tempatan serta kelestarian jangka panjang industri automotif negara.

Toyota Vios HEV

Vios HEV menggunakan sistem Toyota Hybrid Electric System yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter dengan motor elektrik serta bateri lithium-ion kompak berkapasiti 0.7kWh, direka untuk tahan sepanjang jangka hayat kenderaan.

Motor elektrik menghasilkan 80PS dan 141Nm, memberikan tindak balas pantas terutamanya ketika memulakan pemanduan.

Sistem ini beroperasi secara automatik dengan peralihan lancar antara kuasa enjin dan motor elektrik, dengan jumlah kuasa gabungan mencecah 111PS, dipadankan dengan transmisi e-CVT.

Dari segi kecekapan, penggunaan bahan api gabungan NEDC diumumkan pada 3.6 liter/100 km.

Sebagai hibrid ‘self-charging’, Vios HEV boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah, terutamanya dalam kesesakan bandar, sementara tenaga brek dijana semula untuk mengecas bateri.

Hasilnya ialah operasi lebih senyap, penggunaan bahan api lebih rendah dan pelepasan emisi yang lebih bersih.

Kabin moden dengan fokus praktikal

Di bahagian dalam, Vios HEV menampilkan skrin infotainmen bersaiz 10.1-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta paparan meter digital 7-inci khusus untuk model hibrid yang memaparkan aliran tenaga, status bateri dan mod EV.

Kemasan dalaman eksklusif hibrid, pencahayaan ambien serta susun atur kabin yang kemas memastikan ruang penumpang dan but kekal praktikal untuk kegunaan harian.

Pilihan warna luaran termasuk;

  • Platinum White Pearl
  • Attitude Black Mica
  • Silver Metallic
  • Celestite Grey Metallic
  • Scarlet Red

Bagi varian GR Sport, pembeli turut ditawarkan skim dua tona dengan bumbung hitam.

Vios HEV GR Sport

Untuk mereka yang mahukan karakter lebih sporty, Vios HEV GR Sport tampil dengan pakej luaran lebih agresif termasuk bampar khas, gril unik, aerokit serta lencana GR. Rim aloi 17-inci turut menjadi standard.

Suspensi menerima talaan khas membabitkan spring dan penyerap hentak, selain talaan semula sistem stereng kuasa elektrik bagi memberikan pengendalian lebih tajam dan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.

Di dalam kabin, varian ini menerima tempat duduk balutan kulit dan suede dengan logo GR, jahitan kontras, stereng berjenama GR, karpet khas serta kemasan lembut yang menaikkan aura sporty dan premium.

Untuk keselamatan,semua varian Vios HEV dilengkapi pakej Toyota Safety Sense, merangkumi sistem pra-pelanggaran, kawalan kekal lorong, kawalan jelajah adaptif, pemantau titik buta dan lampu tinggi automatik.

Turut disertakan ialah sistem kamera 3D Panoramic View Monitor bagi memudahkan parkir dan manuver pada kelajuan rendah.

Untuk rekod, model ini juga telah memperoleh penarafan keselamatan maksimum lima bintang ASEAN NCAP.

Harga di Malaysia

Untuk Semenanjung Malaysia:

  • Toyota Vios HEV: bermula RM103,900
  • Toyota Vios HEV GR Sport: bermula RM109,900

UMWT menawarkan jaminan kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, bersama jaminan sistem hibrid selama lapan tahun tanpa had perbatuan yang meliputi bateri, inverter dan unit pengurusan kuasa. Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan perlindungan ini.

Google ads
Back to top button