,
Buletin

HONDA CIVIC EK9 TYPE-R. SI LAGENDA YANG TAK TERKALAH!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang perihal jentera yang sangat terkenal di seantero dunia. Honda Civic EK9 Type R.

Model Civic EK9 Type R merupakan model ketiga dalam keluarga Type R selepas NSX dan Integra dan merupakan model pertama di dalam kelasnya. Jadi kepada pemilik Civic Type R selepas tahun 2000, inilah atuk korang. Haha

Baiklah, kita mulakan. Untuk pengetahuan, Honda Civic EK9 Type R mempunyai varian seperti berikut :-

  • Pre-Facelift (Ogos 1997-Ogos 1998)
  • Facelift (Ogos 1998-Ogos 1999)
  • Rx (Ogos 1999-Ogos 2000)

Di sini anda dapat melihat yang produksi Honda Civic EK9 Type R ini hanya berlangsung selama 3 tahun sahaja. Pada tahun 1998, pihak Honda ada mengeluarkan unit terhad Motor Sport Edition atau N1 sebanyak 200 unit sahaja. Motor Sport Edition ni kiranya macam RS bagi Mitsubishi dan N1 bagi Nissan. Apa pun tiada. Rim pun rim kompang.

Bagaimana untuk kita tahu tentang varian EK9 ini ? Ada caranya. Senang sahaja iaitu melalui kod chassis seperti berikut :-

  • Pre-Facelift (EK9-100XXXX)
  • Facelift (EK9-110XXXX)
  • Rx (EK9-120XXXX)

Anda boleh menyemak nombor Chassis ini di tag berwarna biru pada tulang hadapan dan juga pada “Firewall” jentera ini.

Sudah jelas tentang varian, kita pergi pula pada produksi. Berikut adalah jumlah produksi mengikut varian.

  • Pre-Facelift (7,007 unit)
  • Facelift (4,009 unit)
  • Rx (5,225 unit)

Nilai diatas bila digabungkan berjumlah 16,241 unit. Hanya 16,241 unit sahaja Honda Civic EK9 Type R ASLI yang wujud di muka bumi ini dan semuanya adalah untuk pasaran Jepun. Nilai ini juga termasuk 200 unit terhad edisi Motor Sport/N1.

Sebab itu lah mahal ! Terhad !

Perbezaan lain yang terdapat pada setiap varian adalah kemasan dalaman. Unit kawalan penghawa dingin dan tombol lampu kecemasan adalah berbeza sama sekali bagi varian Pre-Facelift dan Facelift.

Untuk edisi Motor Sport lagi lah. Apa pun tiada.

Kerusi Recaro ikonik adalah ciri asas bagi kesemua varian kecuali edisi Motor Sport. Edisi Motor Sport tiada kerusi Recaro, hanya kerusi asal diambil daripada model EK4. Airbag ? Sama juga. Semua ada kecuali edisi Motor Sport

Sekarang kita bercerita tentang ciri luaran jentera ini. Jentera ini dihasilkan dengan menggunakan chassis asal model EK4 namun diperkukuhkan dengan menggunakan teknik “Seam Weld” pada Chasis Monocoque ini pada tempat-tempat kritikal. Dari segi chassis, semua varian mendapat chassis yang sama dan perbezaannya hanya pada kit luaran seperti bumper, gril, fender, lampu hadapan dan indikator signal belakang.

Warna pula sudah semestinya warna putih. Namun, pihak Honda sebenarnya menawarkan secara total 4 pilihan warna untuk model EK9 ini. Berikut merupakan pilihan warna dan kod :-

  • Championship White (NH-0)
  • Sunlight Yellow (Y-56) terhad kepada model Facelift sahaja.
  • Vogue Silver Metallic (NH-583M)
  • Starlight Black Pearl/Flamenco Black Metallic (NH-592P)

Jika nak tahu jentera tersebut masih mengekalkan warna asal boleh semak kod warna pada pelekat yang ditampal pada B-Pillar bahagian pemandu. Buka pintu je mesti nampak. Kalau pelekat dah tiada tu mungkin jentera tersebut sudah dicat dengan warna lain ataupun memang sudah hilang.

Sistem suspensi pula adalah dari jenis “Double Wishbone” untuk suspensi depan dan belakang. Tidak perlu dihuraikan lagi, memang mantap. Sebatang Chassis Bar tambahan dipasang di belakang bumper belakang untuk tujuan pengukuhan. Tayar yang dibekalkan adalah bersaiz 195/55R15. Sistem brek pula dilengkapi dengan bantuan sistem ABS.

Nampak sempurna betul jentera ni, dari Chasis, Sistem Suspensi dan Ciri Keselamatan. Namun apa yang membuatkan model ini lagenda ?

Enjinnya Tuan-Tuan. Jentera ini dilengkapi dengan enjin berkod B16B VTEC yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 182hp dan Torque sebanyak 160Nm. Kuasa yang hebat ini kemudiannya disalurkan ke unit kotak gear 5-kelajuan S4C Helical LSD. Ada LSD barulah tak berjoget kereta bila tarik.

Mungkin angka ini hanya bahan ketawa sekarang, namun pada ketika itu angka ini adalah sesuatu yang gila untuk enjin 1.6 lter N/A. Ditambah pula dengan berat jentera yang hanya 1,090kg.

Jadi Tuan-Tuan sekalian, ini lah sedikit sebanyak fakta yang saya dapat kongsikan tentang Honda Civic EK9 Type R. Kepada sesiapa yang masih menyimpan jentera ini, anda merupakan seorang yang bertuah. Harganya mungkin susah nak turun dan senang nak naik. Sedar tak sedar dah lebih 20 tahun umur EK9 ini.

Ketika dilancarkan, ini lah raja 1.6cc yang sebenar dan juga dinobatkan sebagai jentera NA paling berkuasa di dunia mengikut nisbah kuasa per liter sebelum dileburkan oleh Nissan Pulsar VZ-R dan Ferrari 458.

Walaupun begitu, ia tidak menghalang Honda Civic EK9 Type R ini memegang status lagenda sehingga sekarang.

Ya, ia memang sebuah lagenda yang tak terkalah!

Google ads
Back to top button