Buletin

BMW M3 E46 DIJUAL PADA HARGA RM370,400 – MODEL KLASIK JERMAN DAH MULA NAIK HARGA?

Kita biasa mendengar model-model klasik JDM dijual atau dilelong pada harga yang mengarut. Nampaknya, trend harga begitu kini sudah menjangkiti model klasik buatan Eropah, dalam kes ini, BMW. 

Baru-baru ini, timbul laporan bahawa sebuah BMW M3 E46 buatan tahun 2003 mendapat perhatian meluas di internet.

Seminggu sebelum tarikh lelongan rasminya, jentera tu sudahpun mencatat bidaan setinggi AS$52,000 (RM214,000) di laman web Bring a Trailer. 

Tetapi tahukah anda berapa harga lelongan akhirnya? AS$90,000 atau RM370,400! Kalau tidak silap ini merupakan harga paling tinggi pernah dibayar untuk mendapatkan sebuah BMW M3 E46 yang bukanlah kereta rare pun. 

Harga itu mungkin boleh menjadi penanda aras kepada harga BMW M3 E46 pada masa akan datang. Namun begitu, ia banyak bergantung kepada kondisi dan spesifikasi yang ada padanya. 

Untuk model ini khususnya, ia dilengkapi transmisi manual enam kelajuan. Transmisi ini memang diminati ramai berbanding model dengan kotak gear sequential manual (SMG) yang dikatakan bermasalah dan dikeluarkan pada tempoh masa yang sama. 

Satu lagi, M3 E46 tersebut baru mencatat perbatuan sejauh 25,749km, agak rendah jika dibandingkan dengan usianya. 

Lebih mengejutkan, kereta itu bukanlah model standard. Biasanya, kereta standard yang dapat mengekalkan harga lebih baik. 

Antara modifikasi yang telah dilakukan ke atas model ini ialah rim bersaiz 19 inci, penyerap hentak JRZ RS1, bar penstabil pada bahagian hadapan dan belakang, unit Beisan Systems VANOS serta sub kerangka yang diperkukuhkan oleh Turner Motorsports. 

Brek asal juga telah ditukar kepada angkup Brembo enam omboh dengan cakera bersaiz 380mm di hadapan dan 355mm di belakang. 

Apa pun, M3 E46 semakin menjadi buruan untuk dijadikan kereta koleksi. Jadi, kalau nak beli inilah masa yang terbaik sebelum harganya jadi lebih merepek. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button