
HONDA HR-V e:HEV RS 2026 DIPERKENAL DI JEPUN – HARGA BERMULA DARI RM120,700
Honda baru-baru ini memperkenalkan HR-V e:HEV RS 2026 untuk pasaran Jepun, dikenali di sana sebagai Honda Vezel e:HEV RS.
Varian baharu SUV kompak ini menampilkan peningkatan menyeluruh dari segi reka bentuk, casis dan kelengkapan, namun masih mengekalkan sistem hibrid pengecasan automatik (self-charging hybrid) yang menjadi ciri utamanya.
Dari segi gaya, HR-V RS tampil lebih garang dengan gril radiator berlogo RS, bampar depan dan belakang berkemasan krom gelap, side skirt sporty, serta rim aloi 18-inci jenis diamond-cut.
Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna, dengan Premium Crystal Red Metallic menjadi warna paling menonjol.

SUV ini kini berukuran 4,567mm panjang, 1,839mm lebar dan 1,610mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding HR-V versi Asia Tenggara.
Ciri luaran lain kekal seperti lampu utama LED penuh dengan fungsi automatik serta lampu belakang LED berpenutup gelap.
Bahagian dalaman meneruskan tema sporty dengan jahitan merah kontras, stereng dan tombol gear berbalut kulit, serta plafon hitam. Tempat duduk pula menggunakan bahan Lux Suede anti-gelincir, memberikan cengkaman tambahan semasa pemanduan dinamik.
Senarai kelengkapan standard cukup lengkap, termasuk lampu depan LED, kerusi depan dan stereng pemanas, pendingin hawa dua zon automatik, pengecas tanpa wayar, pintu but kuasa bebas tangan, serta pakej keselamatan Honda Sensing.

Pembeli turut boleh menambah pilihan kamera pelbagai sudut dan sistem audio premium 10 pembesar suara.
Honda turut menambah baik sistem stereng berkuasa elektrik (EPS) dan menurunkan ketinggian kenderaan daripada 1,580mm kepada 1,545mm, bagi meningkatkan kestabilan dan memudahkan parkir di ruang bertingkat di Jepun.
Kuasa datang daripada enjin petrol 1.5 liter bersama dua motor elektrik, menghasilkan 129hp dan 253Nm tork. Dua pilihan pacuan ditawarkan — pacuan hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD).
Honda HR-V e:HEV RS 2026 ditawarkan dengan harga bermula AS$25,500 (RM120,700) untuk versi FWD dan AS$27,000 (RM127,700) bagi versi AWD, sekitar AS$3,300 (RM15,600) lebih mahal berbanding varian e:HEV Z.
GALERI:






- BACA: FERRARI 296 SPECIALE DAN SPECIALE A TIBA DI MALAYSIA – BERMULA RM4.288 JUTA
- BACA: HRC FORMULA R DARI HRC US, MINYAK ENJIN 0W-16, 5W-20, 10W-30 DAN PELBAGAI LAGI!
- BACA: SUBARU FORESTER 2.5 SERBA BAHARU DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM221K
- BACA: PROTON e.MAS 5 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM59K


