Buletin

HONDA HR-V NO. 1 DALAM SEGMEN SUV KOMPAK. LEBIH 14.8K UNIT TERJUAL SEHINGGA NOV 2019

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV kompaknya, HR-V facelift telah terjual lebih 14,800 unit di antara Januari hingga November 2019. Sekali gus mengekalkan kedudukan No. 1 dalam segmennya.

HR-V menguasai 79 peratus perasan dan menjadi model paling popular di Malaysia. Pada tahun 2015, Honda Malaysia menjadi perintis dalam memperkenalkan SUV kompak menerusi model HR-V.

Sejak itu, ia terus mengungguli segmennya selama empat tahun berturut-turut dengan purata penguasaan pasaran sebanyak 76 peratus. Jualan keseluruhannya mencecah lebih 87,000 unit sehingga  November 2019.

Prestasi yang memberangsangkan itu menjadikan HR-V sebagai model kedua paling laris dengan menyumbang sebanyak 19 peratus kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia.

Lembah Klang menyumbang kepada jualan tertinggi dengan 49 peratus. Sementara wilayah Selatan 18 peratus dan Utara 17 peratus.

Mengulas tentang kejayaan HR-V, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama memberitahu versi terkini HR-V diperkenalkan pada awal tahun ini.

“Buat pertama kali juga, kami memperkenalkan varian RS dan Hybrid yang menjadi SUV kompak hibrid pertama dalam segmennya. Bagi pihak Honda Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan mereka,” katanya.

Selain varian baharu, warna merah mutiara juga merupakan pilihan warna terkini yang ditawarkan oleh Honda Malaysia. Menjadi model pertama dengan warna tersebut, ia nyata mendapat maklum balas positif daripada pasaran.

HR-V ditawarkan dalam empat varian iaitu Hybrid, RS, V dan E demi memenuhi keperluan pengguna.  

Google ads
Back to top button