Buletin

HYUNDAI IONIQ 5 N BUAT KEMUNCULAN AWAM PERTAMA DI TRX SEMPENA HYUNDAI MOBILITY EXPERIENCE

Sempena sambutan Aidilfitri, Hyundai Motor Company membawakan pengalaman istimewa menerusi acara Hyundai Mobility Experience yang berlangsung di Menara Affin @ TRX.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan kemunculan awam pertama model berprestasi tinggi, Hyundai Ioniq 5 N.

Dibangunkan berasaskan Ioniq 5 standard, varian N ini menerima peningkatan menyeluruh dari segi kuasa, talaan casis dan penampilan lebih agresif.

Badannya dilebarkan sekitar 50mm dan direndahkan 20mm, dipadankan dengan tayar lebih besar serta diffuser belakang khusus bagi meningkatkan kestabilan dan aerodinamik pada kelajuan tinggi. Struktur subframe hadapan dan belakang turut diperkukuh untuk ketegaran sisi lebih baik.

Menggunakan platform E-GMP, Ioniq 5 N hadir dengan dua motor elektrik; 226PS di hadapan dan 385PS di belakang, sekali gus menjadikannya model produksi jalan raya pertama Hyundai N dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Gabungan kuasa mencecah 609PS, dan meningkat sehingga 650PS dengan tork maksimum 770Nm apabila mod N Grin Boost diaktifkan.

Prestasinya cukup mengagumkan, dengan pecutan 0-100km/j dalam 3.4 saat serta kelajuan maksimum 260km/j — jauh mengatasi Ioniq 5 biasa yang dihadkan kepada 185km/j.

Turut melengkapkan jentera ini ialah teknologi seperti N Drift Optimizer dan Torque Kick Drift yang meniru teknik ‘clutch kick’, selain sistem N Active Sound+ dan N e-Shift yang mensimulasikan bunyi enjin serta pertukaran gear ala DCT.

Sebanyak 10 pembesar suara disediakan dengan tiga tema bunyi — Ignition, Evolution dan Supersonic — termasuk efek pop dan bang seperti enjin turbo 2.0 liter Hyundai N terdahulu.

Orang ramai dijemput hadir ke:
📍 Ground Floor, Menara Affin @ TRX
🗓️ 23 – 27 Februari
⏰ 9.00 pagi – 7.00 malam

Jangan lepaskan peluang melihat sendiri jentera elektrik berprestasi tinggi ini dari dekat!

Google ads
Back to top button