Buletin

CHERY SERAHKAN TIGGO CROSS HEV KEPADA PEMENANG ‘TEST DRIVE LUCKY DRAW’

Lawatan servis rutin yang sepatutnya berjalan seperti biasa rupa-rupanya membawa tuah besar buat seorang pelanggan setia Chery apabila beliau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama sebuah Chery TIGGO CROSS HEV menerusi kempen Chery Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) Test Drive Lucky Draw.

Joan Gan Cherl Wean, yang berasal dari Klang, dipilih sebagai pemenang daripada lebih 1,300 peserta dalam sesi cabutan yang disiarkan secara langsung di platform media sosial rasmi Chery Malaysia.

Apa yang lebih menarik, beliau hanya menyedari khabar gembira itu ketika sedang menghadiri mesyuarat.

Menurut Gan, telefon bimbitnya berdering beberapa kali sebelum beliau meminta izin untuk menjawab panggilan.

Rupa-rupanya ia daripada wakil pusat pameran Chery Klang, lokasi di mana beliau sebelum ini hadir untuk memandu uji model PHEV.

Pada awalnya, beliau menyangka panggilan tersebut sekadar gurauan. Namun, pihak jurujual segera menghantar rakaman video cabutan undian secara langsung sebagai bukti, sekali gus mengesahkan kemenangan tersebut.

“Ini kali pertama saya menang cabutan bertuah, dan terus hadiah utama. Memang tak sangka, apatah lagi ia datang pada awal tahun,” katanya yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

Lebih bermakna, kemenangan itu hadir ketika suaminya sedang mempertimbangkan untuk membeli sebuah SUV baharu bagi kegunaan keluarga.

Kehadiran TIGGO CROSS HEV sebagai ‘ahli baharu’ dalam garaj mereka jelas tepat pada waktunya.

Kempen yang berlangsung dari 9 Disember 2025 hingga 6 Januari 2026 itu dianjurkan bagi menggalakkan orang ramai merasai sendiri pengalaman memandu model PHEV Chery.

Peserta hanya perlu memandu uji mana-mana model terlibat serta memuat naik gambar bersama kenderaan berkenaan untuk melayakkan diri menyertai cabutan hadiah bernilai keseluruhan sehingga RM200,000.

Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelanggan memahami sendiri kelebihan teknologi hibrid yang ditawarkan.

Menurut beliau, pengalaman pemanduan secara langsung membolehkan orang ramai mengenali dengan lebih dekat sistem Chery Super Hybrid dan menilai sendiri kesesuaiannya dengan gaya hidup masing-masing.

Gan sendiri bukanlah pelanggan baharu jenama itu. Beliau telah memiliki Chery TIGGO 7 PRO sejak lebih setahun lalu dan menyertai peraduan berkenaan selepas dicadangkan oleh kakitangan pusat pameran ketika menghantar kenderaannya untuk servis berkala.

Pada majlis penyampaian hadiah, Gan hadir bersama ibunya untuk menerima kunci kenderaan baharu tersebut. Beliau mengakui seluruh keluarga teruja menantikan pengalaman memandu SUV hibrid berkenaan.

Selain hadiah utama, kempen berkenaan turut menawarkan pelbagai ganjaran lain termasuk barangan elektrik dan gajet elektronik kepada peserta bertuah.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada promosi hujung tahun Chery yang bukan sahaja memperkenalkan teknologi elektrifikasi kepada lebih ramai pengguna, malah mengukuhkan hubungan jenama itu dengan komuniti pelanggannya yang semakin berkembang di Malaysia.

Google ads
Back to top button