
TOYOTA RAV4 PHEV BOLEH BEKALKAN ELEKTRIK RUMAH HINGGA SEMINGGU!
Toyota terus menolak sempadan teknologi hibrid dengan memperkenalkan fungsi unik pada RAV4 Plug-In Hybrid (PHEV) untuk pasaran Jepun.
Jika model yang sama lebih tertumpu kepada prestasi dan kecekapan, versi Jepun hadir dengan ciri yang jauh lebih praktikal – ia boleh menjadi sumber tenaga kecemasan untuk kediaman anda.
Model itu dilengkapi apa yang dipanggil sebagai “HV power supply mode”, iaitu sistem yang membolehkan kenderaan menyalurkan bekalan elektrik terus ke rumah, seakan konsep vehicle-to-home (V2H).
Melalui soket kuasa 100 volt – standard di Jepun – SUV ini mampu membekalkan sehingga 1.5 kilowatt tenaga.

Di atas kertas, angka itu kelihatan kecil jika dibandingkan dengan keupayaan 9.6kW yang ditawarkan oleh Ford Motor Company menerusi Ford F-150 Lightning.
Namun pendekatan Toyota berbeza. Dengan andaian penggunaan purata isi rumah sekitar 400 watt, RAV4 PHEV dikatakan mampu menyalakan sebuah rumah tipikal di Jepun sehingga 6.5 hari – jauh lebih lama berbanding kebanyakan alternatif yang berkuasa tinggi tetapi cepat menghabiskan tenaga.
Ciri ini menjadikan RAV4 PHEV bukan sekadar SUV cekap bahan api, malah berperanan sebagai “powerbank” bergerak ketika gangguan elektrik atau bencana alam – sesuatu yang relevan di Jepun.
Buat masa ini, tiada petunjuk bahawa fungsi sama akan ditawarkan untuk pasaran lain. Bagaimanapun, Toyota difahamkan bakal memperkenalkan sistem V2H pada model elektrik baharu mereka, Toyota Highlander EV, yang dijangka dilancar tahun ini. Perincian teknikalnya masih belum diumumkan.
Jelasnya, pendekatan Toyota di Jepun membuktikan bahawa elektrifikasi bukan hanya soal pecutan atau jarak perjalanan, tetapi juga tentang bagaimana sebuah kenderaan boleh menyokong kehidupan seharian pemiliknya.

