
HYUNDAI TUCSON 2027 MUNCUL DENGAN IMEJ LEBIH GARANG – LANCAR HUJUNG TAHUN INI
Hyundai memperkenalkan generasi baharu Tucson 2027 dengan perubahan reka bentuk yang ketara, menampilkan imej lebih lasak dan berkotak berbanding model terdahulu.
SUV segmen C itu kini hadir dengan garisan badan yang lebih tajam serta elemen rekaan futuristik yang menyerlahkan identitinya di jalan raya.
Dari segi saiz, Tucson baharu ini turut mengalami peningkatan dimensi. Panjang keseluruhan bertambah 60mm kepada 4,700mm, manakala jarak roda kini mencecah 2,785mm selepas ditambah 30 mm. Lebarnya pula meningkat 40mm kepada 1,905mm, sekali gus menjanjikan ruang kabin yang lebih lapang untuk penumpang.
Ketinggian kenderaan turut bertambah 20mm kepada 1,685mm, memberikan ruang kepala tambahan bagi penumpang belakang. Hyundai juga menambah sudut bukaan pintu belakang kepada 83 darjah, memudahkan proses keluar masuk terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil atau warga emas.


Bahagian luaran turut menampilkan identiti pencahayaan baharu dengan motif huruf “H” bercahaya pada bahagian hadapan dan belakang. Rekaan lampu utama serta lampu belakang yang hampir seiras memberikan penampilan moden dan lebih tersendiri.
Di dalam kabin, Tucson generasi baharu menerima perubahan menyeluruh dengan penggunaan sistem infotainmen terkini Pleos.
Paparan skrin besar mendominasi papan pemuka, namun Hyundai masih mengekalkan beberapa butang fizikal bagi fungsi utama untuk kemudahan pengguna.

Panel instrumen digital kini ditempatkan pada bahagian atas papan pemuka dalam garis pandangan pemandu, sementara kemasan dalaman premium seperti upholsteri berlubang, sentuhan kayu dan pencahayaan ambien menambahkan lagi suasana mewah dalam kabin.
Buat masa ini, Hyundai masih belum mendedahkan spesifikasi enjin atau rangkaian kuasa bagi Tucson baharu.
Maklumat lanjut dijangka diumumkan menjelang pelancarannya di pasaran Korea Selatan pada penghujung tahun ini sebelum diperkenalkan ke pasaran global sepanjang tahun 2027.

