Buletin

VOLVO EX90 2026 DILANCARKAN TAK LAMA LAGI – AWD, KUASA 680HP, 870NM DENGAN SISTEM 800V

Volvo Car Malaysia (VCM) mengesahkan Volvo EX90 versi terkini akan diperkenalkan tidak lama lagi di pasaran tempatan, membawa bersama beberapa peningkatan penting termasuk penggunaan seni bina elektrik 800 volt yang lebih canggih.

Sebagai model elektrik utama (flagship) jenama Sweden itu, EX90 dibangunkan berasaskan platform perisian moden yang menyokong kemas kini over-the-air (OTA), membolehkan sistem dan fungsi kenderaan dipertingkat secara berterusan.

Peningkatan terbesar adalah melibatkan sistem elektrikal 800V yang menggantikan seni bina 400V sebelum ini.

Teknologi baharu itu membolehkan EX90 menerima pengecasan pantas DC sehingga 350kW, berbanding 250kW pada model terdahulu, sekali gus mengurangkan tempoh pengecasan dan meningkatkan kecekapan penggunaan harian.

Volvo turut mengekalkan fokus terhadap aspek keselamatan yang menjadi identiti jenama itu. EX90 dilengkapi komputer teras berprestasi tinggi yang mengendalikan pelbagai sistem keselamatan aktif, termasuk pemantauan berterusan terhadap keadaan jalan raya dan ruang kabin bagi membantu mengurangkan risiko kemalangan serta melindungi pemandu dan penumpang.

Dari segi reka bentuk, SUV elektrik tujuh tempat duduk ini menampilkan gaya Scandinavia yang minimalis dan moden dengan garisan aerodinamik yang kemas.

Ia turut dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD), teknologi bantuan pemandu adaptif serta tahap keselesaan premium yang dipertingkatkan.

Spesifikasi utama Volvo EX90:

  • SUV elektrik premium tujuh tempat duduk
  • Seni bina elektrik 800V generasi baharu
  • Dwi motor elektrik (Twin Motor)
  • Sistem pacuan semua roda (AWD)
  • Kuasa maksimum 680hp
  • Tork maksimum 870Nm
  • Pecutan 0-100km/j dalam 4.2 saat
  • Pengecasan pantas DC sehingga 350kW
  • Sokongan kemas kini perisian OTA
  • Komputer teras berprestasi tinggi untuk sistem keselamatan aktif
  • Sistem pemantauan kabin pintar
  • Teknologi bantuan pemandu adaptif
  • Rekaan Scandinavia dengan kemasan badan rata (flush design)

Bagi menarik minat pembeli terawal, Volvo akan menawarkan pakej ganjaran eksklusif kepada 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan awal EX90. Perincian mengenai tawaran tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pelanggan yang berminat boleh mendaftarkan minat menerusi laman web rasmi Volvo Car Malaysia untuk menerima maklumat terkini berhubung pelancaran SUV elektrik premium berkenaan.

Google ads
Back to top button