
KTM BERI TUMPUAN PENUH KEPADA MOTOSIKAL, X-BOW BAKAL DIHENTIKAN
Setahun kebelakangan ini bukanlah masa yang mudah untuk KTM. Syarikat pengeluar motosikal dari Austria itu berdepan dengan pelbagai cabaran kewangan dan pengurusan.
Namun satu sinar harapan muncul apabila rakan strategiknya dari India, Bajaj, tampil menyelamatkan operasi KTM daripada terus tenggelam.
Dengan pemulihan tersebut, hala tuju KTM menjadi semakin jelas, tumpuan eksklusif kepada motosikal.
Bagi yang mungkin terlupa, KTM bukan sekadar pengeluar jentera dua roda. Selama ini, mereka juga terlibat dalam beberapa cabang lain termasuk pengeluaran basikal dan sebuah supercar ringan yang dikenali sebagai X-Bow.

Walaupun model ini diiktiraf kerana kejuruteraannya dan prestasi litar yang mengagumkan, tetapi angka jualannya sangat mengecewakan, di mana hanya 36 unit terjual sepanjang tahun lalu.
Dalam wawancara terkini bersama Cycle World, Ketua Pegawai Eksekutif baharu KTM, Gottfried Neumeister, mengesahkan langkah drastik sedang diambil untuk menstrukturkan semula operasi syarikat.
Antara tindakan awal ialah menamatkan bahagian pengeluaran basikal menjelang hujung tahun ini. Selain itu, KTM juga telah mencapai kata sepakat dengan rakan usahasamanya, CFMoto, untuk menghentikan penjualan model-model jenama tersebut supaya tumpuan dapat dikembalikan sepenuhnya kepada produk KTM sendiri.
Dalam kenyataan, Neumeister menyebut bahawa KTM kini sedang dalam proses untuk melepaskan projek X-Bow, yang dianggap tidak menyumbang secara signifikan kepada perniagaan utama mereka, iaitu motosikal.
“Kami telah membuktikan kebolehan kami dalam kejuruteraan dengan X-Bow. Tetapi projek ini tidak membantu kami menjual motosikal,” ujarnya.
Dengan keputusan untuk mengecilkan operasi dan menumpukan kepada keuntungan jangka panjang, tidak banyak ruang untuk projek berprofil tinggi tetapi kurang impak kewangan seperti X-Bow.









